Friday, November 20, 2009

entri pasal puan-puan

entri ini ditulis khas untuk menarik pemerhatian dua orang sahabatku. biarlah aku senaraikan nama mereka dengan harapan mereka bertambah2 famous selepas ini.
1)Puan C
2)Puan P

harap2 mereka famouslah sebab nama dah ditulis terang2 kat situ kan.

berkenaan puan C
sebenarnya fikiran dan mungkin emosi aku masih terganggu dengan perubahan mendadak yang berlaku terhadap puan C aka jiran belakang tempat dudukku itu. hal ini demikian kerana(ni ayat karangan) beliau secara tiba-tiba telahpun membuat keputusan yang amatlah mengejutkan diriku ini. pun begitu, keputusan beliau itu amatlah baik pula-jadi, tahniahlah aku ucapkan kepada beliau. dan apakah keputusan beliau itu? ahah, beliau tanpa dipaksa2 oleh sesiapa, dan dengan fikiran yang amat teratur telah menamatkan penderitaan mataku ini melihat mejanya yang ehem ehem itu. aku bukannya apa wei, aku kesiankan mejanya yang kelihatannya amat menderita itu. jadi, aku ucapkan tahniah sekali lagilah kerana beliau telah membuat keputusan yang tepat dengan menyusun atur semula buku2 di atas mejanya itu pada hujung tahun 2009 ini. inilah azam baru beliau agaknya. bercakap pasal azam, teringat pula seorang admin ofis sekolahku yang pastinya tak boleh membuat azam baru kerana kalau dia membuat azam baru, kesian azam. yang mungkin dia boleh buat ialah memperbaharui azam yang sedia ada supaya kelihatan sentiasa baru.

sebenarnya, puan C jangan mengambil hati di atas kata-kata manisku ini. sebenarnya, aku mengalami masalah yang sama. semua kertas dan buku yang aku ada aku rasakan amat penting untuk dibuang. sudahnya, atas mejaku ada banyak kertas dan buku yang pada mulanya kelihatan tersusun tetapi akhirnya bertimbun-timbun dan menyesakkan pandangan mata. haih...

berkenaan puan P
aku sebenarnya hairan kenapa hari ini seara tiba-tiba puan P bertanya pasal blog aku yang sudah layak diiktirafkan sebagai rumah hantu. kemudian aku mendapat ilham bahawa pastilah puan p telah meluangkan masanya yang banyak berkoyan-koyan itu dengan pergi ke blog aku dan mungkin membacalah apa-apa yang aku tuliskan atau melihat2lah gambar2 yang aku letakkan. namun, setelah lama aku berfikir, barulah aku sedar bahawa aku tak patutlah hairan sesangat kerana akupun ada juga pergi ke blog beliau yang mempunyai warna yang amat dominan dengan baju raya beliau pada tahun ini. aku pun membaca jugalah apa-apa yang beliau tuliskan-kerana amalan membaca itu haruslah berterusan. adakah aku sedang memuji2 diriku sendiri? mungkinlah. secara tidak langsung agaknya.

sejujurnya, aku sendiri memang sejak akhir2 ini suka singgah di sana sini dan membaca tulisan orang lain-cuma prinsipnya beginilah-bila mana kita singgah di blog orang lain dan kita rasa kurang senang dengan blog itu, cepat2lah tinggalkan blog itu-tak payahlah pula nak meroyan atau meracau tak tentu pasal di blog orang lain-hal ini pernah berlaku terhadap blog aku ketika aku masih bertugas di seri cahaya-adalah satu makhluk Tuhan ni yang meracau2 dan meroyan2 tak tentu pasal di blog aku sehingga aku terpaksa membekukan penggunaan shoutbox aku sehingga aku bertugas di sri aman-haih!

dalam hal ini aku mengucapkan terima kasihlah kepada puan p kerana beliau telah berjaya membariskan dirinya dalam barisan pelawat senyap yang melawat blog aku. sila datang lagi.

aku nak tulis lagi ni tapi tiba-tiba pula ada satu laungan yang amat kuat di dalam diriku. katanya, tidolah, tidolah. untuk itu, byes. oh ini ada gambar untuk tatapan korang.

oh ini kira sejarahlah kerana selama ini aku tak pernah meletakkan gambar aku dlm entri. kenapa kali ni aku letak? hmm, kerana gambar nipun ada sejarahnya jugak. inilah gambar terakhir aku amik gunakan 350D yang amat banyak baktinya kepadaku. selepas ini camera ini menjadi milik cik hana pulak. byes camera.

Thursday, November 12, 2009

hari yang malang barangkali

namun itulah hakikatnya. bukan semua anak2 sedar betapa sayangnya ibu bapa mereka terhadap mereka. atas sebab2 inilah aku menetapkan bahawa hari ini hari yang malang barangkali.

hari ini hari terbuka di sekolahku-tuan-tuan puteri telahpun dengan tanpa segan silunya meminta aku agar tidak menghebahkan kepada ibu bapa mereka pasal kelakuan mereka yang sebenarnya mereka sedar tidak begitu sesuai itu. haih, budak2 zaman sekarang- jadi, dapatlah aku dengar ayat-ayat yang berbunyi begini siang tadi;

1)cikgu, nanti kalau mak bapak saya datang, cekgu cover2 sikit tau-kalau mak bapak saya tanya pasal perangai saya, cekgu cakaplah semuanya ok.
2)bapak saya tu suka bebellah cekgu. kalau cekgu tak cover saya, habislah saya kena bebel ni.

haih. n haih. aku dengar2 jelah tuan2 puteri membebel. yang lebih memalangkan keadaan ialah bila ada satu tuan puteri ni, teramatlah melampau sikapnya. emak yang melahirkannya itu datanglah dengan bapanya dengan tujuan nak marahkan aku sebab tak pernah kasi rekod pencapaian kepada mereka-so, mereka tak tau pencapaian anak mereka-so, dipendekkan cerita, pihak sekolahlah yg bersalah dalam hal ini.

namun, selepas mendengar penjelasan aku, tertutuplah mulut yang tadinya agak lancanglah juga-kenapa? sebab tak satupun yg dikatakannya itu betul-dan-si ibu tadi menyedari betapa anaknya itu amatlah mengecewakan sikapnya. sepanjang satu tahun ni, tak satupun surat yg sekolah kasi kepada ibu bapa sampai ke tangan mereka-tak satupun salinan laporan pencapaian pelajar yg diberikan oleh guru kelas sampai ke tangan ibu bapa-sedihlah-apa lagi yang boleh dibuat. buat muka sedihlah-mula2 aku tak kesian sangat sebab aku dah terbiasa dengan keadaan tu-tapi, lama2 bila aku dapat melihat sejujurnya rasa kecewa yang ditunjukkan dari air muka ibu bapa tu-aku pun ikut sedih dan kecewalah.

sampainya hati-sampainya hati mengecewakan ibu bapa yang telahpun bertungkus-lumus membahagiakan anak yang sebenarnya langsung tidak fikir soal membahagiakan pula ibu bapanya-alangkah kecewanya.

jadi, jika adalah pelajar yang gigih membaca entri ini-tolonglah renung dalam diri, sudah cukuplah kalian membahagiakan ibu bapa yang selama ini tak pernah rela walau seekor semutpun menggigit kulit tubuh kalian-demi kasih dan sayang. berubahlah sebelum terlambat.

oh sudahlah.
ni gambar cik abang yang ada empat hari lagi nak cukup umur satu tahun. yeay, satu tahun hampir dilalui dengan jayanya sebagai seorang bapa. nyehehe (ketawa stail azrianna, cik sahsiah terpuji tu).

ni pula gambar ko-te-auw kerang yang aku gorengkan tetapi dicemburui pula oleh cik sahsiah terpuji. katanya," nampak je macam best, tapi rasa pasti tak best." amat terserlah kecemburuannya itu.

bye.

Tuesday, October 20, 2009

anak dan ibu (si)

sesuatu yang comel telah berlaku hari ini-pada firasat akulah.

betapa seorang ibu itu ialah kawan baik anaknya
yang mana mereka selalu bertukar pendapat
atau mereka selalu bertengkar kemudian berbaik2 semula
yang mana si ibu biasanya lebih memahami si anak berbanding si bapa memahami si anak

hari ini-ketika aku di klinik-atas sebab2 yang telah menyebabkan-adalah seorang ibu ini-agak moden orangnya-dengan seorang anak lelaki yang comel-melangkah masuk ke klinik-aku kemudiannya masuk ke dalam salah sebuah bilik rawatan-kemudian aku terdengar dari luar seorang anak meraung2 tanak masuk ke dalam bilik berjumpa doktor yang satu lagi-kemudian aku keluarlah-dan mendapati si anak yang meraung2 tadi dan si ibu telahpun berada di luar bilik rawatan-ketika cik misi memanggil nama si anak tu-si ibu pun pergi mengambil ubat dan diekori oleh si anak yang kemudiannya berdiri betul2 mengadap ke arah si ibu-ketika si ibu selesai mengambil ubat- aku perasan si anak ni menjelirkan lidahnya ke arah si ibu (oh alangkah comelnya)-si anak bukan kurang ajar-bukan nakal-tetapi sekadar protes atau luahan rasa tidak puas hati sebab dipaksa masuk ke bilik rawatan oleh si ibu-si anak kemudiannya duduk kembali di sebelah ibunya yang tertawa kecil melihat telatah anaknya itu-si anak memeluk si ibu pula sebelum kedua2nya keluar meninggalkan klinik.

saat itulah
aku terkenangkan irfaan
yang buat masa ini, saban waktunya
menyebut mama,mama,mama
sebagai bapa-aku hanya mampu mengeluh
melihat betapa akrabnya irfaan dengan puan salmiza
walaupun saban waktu aku telah pun luangkan masa untuknya
namun yang selalu di mulutnya mama, mama, mama dan begitulah seterusnya.
(jeles,jeles,jeles,jeles,jeles,jeles,jeles,jeles)


byes!

terima kasih encik jankaulu

-::mukadimah::-
seingat aku, semasa belajar di um dulu, aku ada belajar kritikan sastera. ini ialah satu subjek yg menarik juga-subjek yang mengajar kami tentang bagaimanakah seharusnya aku berperanan jika aku menjadi pengkritik sastera-subjek ini mengajar kami membezakan antara kritikan yang baik dan membantu dengan kritikan harian yang kebanyakannya berlandaskan emosi. dalam subjek ini, kami diperintahkan agar memilih satu karya sastera lalu membuat kritikan terhadap karya tersebut-kritikan ini melihat dari aspek baik-buruknya sesebuah karya-tujuannya untuk membantu pengkarya tersebut menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

beberapa hari lepas aku telah menjengah laman blog rakan bernama jankaulu-jutaan terima kasihlah kerana beliau rasanya tanpa mempelajari subjek kritikan sastera ini telah berjaya menjalankan peranan sebagai pengkritik karya yang baik-ni bukan membodek kerana beliau telah mengkritik karya saya-tetapi usaha beliau yang mengkritik dengan landasan yang betul amat menyenangkan hati saya-jutaan terima kasihlah kepada beliau atas usaha murni membantu penulis seperti saya.

sebelum ini, saya pernah membaca banyak kritikan karya yang lain oleh orang lain di blog2-yang mana kritikan itu sama ada merosakkan, menjatuhkan atau menyenangkan-cuma tidak berlaku pada landasan kritikan yang sebenar-hal ini kerana kritikan itu lebih banyak bertunjangkan emosi-rasa suka, bosan, gembira, puas atau apa-apa rasa lain.

inilah petikan kritikan sastera oleh jankaulu terhadap karya saya yang bertajuk Boleh Tanya Tak?

Tuesday, September 29, 2009
Alias Deris: Boleh Tanya Tak?

Walau dugaan silih berganti,
Dia tetap teguh berdiri,
Sehingga terungkapnya kebenaran


Itulah antara ungkapan kata terpang-pang di cover novel `Boleh Tanya Tak?' karya Alias Deris yang diterbitkan pada tahun 2009 (cetakan ke 2). Novel ni bukannya novel remaja atau akhir remaja (macam saya ni) tetapi untuk awal remaja iaitu dalam lingkungan umur 9 hingga 15 tahun.

Ni hah cover bukunya... Ada lambang LOVE tapi bukan pasal cintan...
Saya menyambarnya bersama novel `Zizan atau Zidane' (juga karya Alias Deris) di sebuah kedai buku kecil, di sebuah daerah terpencil...Muadzam Shah.

Pun begitu saya juga membacanya. Masa nak tidur tu... masa kelebek-kelebek buku-buku, tangan saya mencapai novel `Boleh Tanya tak?'. Saya membacanya sehingga lewat pukul satu pagi baru habis, he he he. Baca semasa nak tidur. Mulanya ingat tak akan habis membacanya tetapi persoalan mengapa Sherrina begitu terluka setelah dihina di sekolah menyebabkan saya mahu tahu. Kesian dia baru bertukar sekolah dan terkena musibah pulak. Dan saya nak tahu jugak apa Edly buat sehingga Sherrina begitu terluka. Maka saya terus membaca daripada satu muka surat ke satu mukasurat sehinggalah tak sedar ke mukasurat terakhir, 151.

Novel ini bukannya kisah cinta. Temanya adalah persahabatan. Banyak persoalan mengenai nilai-nilai persahabatan diungkapkan di dalam novel ini yang secara langsungnya memberikan pengajaran dan moral yang indah kepada pembaca.

Persekitaran dan lokasi banyak berlegar di sekolah dengan ramai kawan lain yang membawa watak sampingan yang pelbagai bangsa (satu Malaysia), begitu juga gurunya yang berkonsepkan satu Malaysia juga. Best jugak cerita ni kerana ia berjaya membawa saya ke alam persekolahan dulu, tiba-tiba syahdu rasa...(pulak dah).

Sebagai pengulas novel awal remaja yang tersohor (konon tersohor tapi ni la kali pertama ulas novel dalam hidup, he he he) saya sangat berpuashati dengan persembahan yang menepati ciri-ciri novel awal remaja terutamanya plot bergerak cepat, banyak dialog dan pendek dialongnya, bahasa mudah dan segar, ada adengan lucu, klimaks yang tak melampau, suasana persekolahan dan world view lingkungan pemikirannya awal remajanya.

Saya rasa lucu pulak watak cikgu Nordin yang memberi komen kepada pelajarnya macam Roslan Aziz Malaysian Idol dan Cikgu Norasyid macam Adlin Aman Ramli dalam Akademi Fantasia...bila memberi komen terhadap persembahan para pelajarnya...(M/s: 109, Prg: 2, 4). Ia menimbulkan rasa real je bila membaca buku ni, mendekatkan kita ke alam cerita.

Namun penulisan ini saya fokuskan kepada unsur-unsur penerapan agama di dalam novel ini. Unsur agama yang saya maksudkan di sini ialah bukan sahaja melalui perkataan tetapi juga situasi dan adengan yang menyematkan pembinaan insan yang mulia. Ada di antaranya tidak dinyatakan secara terangan tetapi ia memang salah satu amalan dan tuntutan agama. Contohnya apabila Zubaidah terpenyek kerengga, lihat di bawah:

''... kerengga yang kecil itu juga makluk ciptaan tuhan. Kerengga itu barangkali mempunyai keluarganya sendiri. Apakah nasib keluarganya nanti? Alangkah malangnya....'' (m/s: 11, Prg:4).

Agama mengajar kita ambik kisah mengenai makluk ciptaan yang lain sebagai suatu makhluk juga yang ada hak untuk hidup. Kita ni sibuk 24 jam, mungkin kita terlepas nak mengajar anak banyak perkara mengenai kemanusian, di sinilah saya melihat peranan Alias Deris mewakili pihak kita (kita yang sibuk cari duit dan bergaya 24 jam ni kan? He he he, jangan terasa sebab mungkin betul apa yang saya kata ni!).

Begitu juga terdapat peristiwa apabila berlaku kematian ibu Tasbeeh (kawan baik Sherrina), digambarkan adat menziarah memang diamalkan bersama amalan saling membantu antara satu sama lain. Mak Cik Jah ini adalah jiran terdekat.

''Mak Cik Jah menutup semula kain yang menutupi jenazah ibu Tasbeeh yang diselaknya tadi. Tasbeeh sebolehnya tidak ingin melihat emaknya dalam keadaan begitu. Dia sedar ketentuan ilahi. Cuma tadi dia tidak mampu menahan kesedihan. Segala-galanya berlaku dengan pantas.'' (m/s:72-73, Prg:7,1).

Begitu juga dengan dialog yang mengajar awal remaja supaya bertimbang rasa, menghormati waktu amalam agama individu lain, garib-garib buta mana boleh telefon rumah orang:

'' Sherina, kenapa menelefon ke rumah orang waktu magrib begini? Tunggulah selepas solat nanti. Nanti terganggu pula orang di sana,'' Sapa puan Salmiza secara tiba-tiba sambil menegur perbuatan Sherrina itu.'' (m/s: 125, Prg:1).

Banyak lagi unsur agama dan moral yang diterapkan dan disematkan dalam novel ini terutama pergaulan antara lelaki dan perempuan yang mesti terkawal, semangat kerja sama berpasukan dan menolong antara satu sama lain.

Saya berpendapat pada peringkat awal remaja pembinaan minda haruslah kuat diisi dengan banyak panduan. Agama adalah salah satu sebagai panduan hidup (bukan bebanan). Semua pelajar boleh rajin belajar dan menjadi somebody suatu hari nanti...tetapi mestilah menjadi somebody yang terisi pembinaan mindanya daripada awal. Jika tidak bina jambatan, jambatan runtuh, bina stadium, stadium runtuh (no komen, he hehe) atau kerja bank, buat lari duit...he he he.

Novel ini saya akan poskan kepada anak saudara di Besut, sebagai tambahan kepada koleksi buku cerita-ceritanya. Saya juga akan terus membeli karya Alias Deris untuk anak-anak suadara kerana dalam karyanya banyak unsur penyerapan dan pembinaan jati diri ke dalam para pembaca. Penyerapan secara bijak, kuat dan segar. Apalah sangat menghabiskan sedikit wang untuk pembinaan minda anak-anak kita kan? (opps...anak saudara juga, he he he).

Sesekali asyik dok mengodar Pizza untuk makanan perut anak-anak, apa salahnya kita sekali sekala mengodar buku untuk makanan minda otak anak-anak, kan?...


nak baca lebih banyak post encik jankaulu yang sejak dua menjak ni banyak betul menulis, kliklah di sini.

byes.

Friday, October 16, 2009

aku dan pemimpin

adalah satu malam tu aku menonton tv-buletin utama-seorang perwakilan umno berkata," pemimpin patut selalu turun ke padang-lihat keadaan rakyat"-maaf ye, penulisan ni tak menjuruskan kepada parti umno atau mana2 parti yang lain. penulisan ini mengimbau perkara yang diperkataan oleh perwakilan itu.

satu
kenapa ada timbul persoalan pemimpin kena selalu turun ke padang-jelasnya, pemimpin yang kita pilih sekarang ni tidak turun ke padang-jadi, untuk apa dia menjadi pemimpin kalau dia tidak menunjukkan kepimpinan-pastilah objektifnya menjadi pemimpin ialah mengisi kantong sendiri dan kantong suku-sakat-lalu terkeluarlah dia daripada ciri2 pemimpin yang sepatutnya.

dua
sudah menjadi lumrah apabila pemimpin besar turun ke padang-pemimpin setempat pula bukan main lagi rancak menyembunyikan segala sisi2 gelap kawasan pimpinannya-lalu terpadamlah sisi gelap kawasan itu dari sudut pandangan pemimpin besar ini-sudahnya-semuanya baik-baik sahaja. jadi, siapa yang menderita. kitalah-kitalah yang tadinya berusaha keras menyembunyikan keadaan sebenar.

tiga
mengapa tidak jika seseorang pemimpin besar itu ingin turun padang-turun sahajalah-tak perlulah dicanang2kan dua tiga bulan sebelum itu-oh pastilah itu akan menjadi salah prosudernya-kerana nantinya pastilah tidak ada sambutan besar-besaran yang menuntut perbelanjaan dan pengorbanan yang juga besar2an-pastilah tiada pukulan kompang-pentas utama-dewan pasti berhabuk-kampung pasti comot-momot dengan sampah sarap-tiadalah penduduk kampung yang bergaya dengan baju batiknya-tiadalah jamuan khas buat pemimpin besar-air sirap segelas manalah memadai-oh siapakah nanti yang akan menderita-penduduk kampung juga.

jadi, bagaimanakah seidealnya seseorang pemimpin menjalankan sesuatu yang sepatutnya menjadi rutinnya-iaitu turun ke padang?

menurut hemat aku-seorang rakyat biasa-contohilah pemimpin zaman khulafa ar rasyidin- di mana pemimpin turun ke padang dengan pakaian cabuk sehingga tidak dikenali oleh rakyat jelata-tiada pengiring-tiada kompang-yang ada hanyalah hati yang tulus ikhlas untuk membantu rakyat jelata-kalau itu terlalu jauhpun untuk dicontohi-dalam sastera melayu ada menyebut seorang sultan keluar pada waktu malam menangkap pencuri-jadilah pemimpin yang begitu-tak bolehkah?

rasa akulah
tak boleh. masakan pemimpin sekarang ni pakai baju cabuk pergi berjumpa rakyat-jatuhlah maruahnya nanti-takkanlah nak keluar begitu saja bertemu rakyat-tanpa pengiring-tanpa kompang-tanpa bunga manggar- tanpa karpet merah-oh sudah tentulah tindakan itu mengundang bahaya kepada pemimpin besar-keselamatan pemimpin besar mestilah diutamakan dan bukan pula sibuk mengutamakan keselamatan rakyat-walaupun slogan mengatakan rakyat mesti didahulukan-ah itu mungkin sekadar slogan saja-untuk menyedapkan laungan kalau2 ada perhimpunan besar nanti.

harapan akulah
pemimpin2 yang ada sekarang ni ikhlas memimpin-saranan seorang pemimpin lain bahawa mereka perlu pergi sekolah semula ialah saranan yang amat bagus-saranan ini patutnya tidaklah terhad kepada parti tertentu sahaja-saranan ini patut ke atas semua pemimpin kerana payah betul nak cari pemimpin yang benar2 ikhlas-yang biasa kita jumpa ialah pemimpin yang bercuti bilamana ada wartawan nak bertanya soalan tentang masalah yang timbul di kawasan pimpinannya.

oh sudahlah.

byes.

Saturday, October 10, 2009

aku dan kisah2

raya telah berlalu-yang tinggal hanyalah kenangan-yang mungkin akan dikenang atau dilupakan terus dari ingatan. aku kira aku telah agak lama kembali ke sini semula-menjejakkan kaki ke sekolah-seperti biasa-melayani berkoyan-koyan perangai manusia.

kisah kecil satu
reunion hari tu berlangsung dengan amat baik-jadi, keterujaan aku sebelum reunion itu adalah sesuatu yang berasas-walaupun majlis tu simple-namun, daya usaha untuk mewujudkan majlis seumpama itu amatlah aku hargai. terima kasihlah kawan-kawan kerana korang memang sebaik yang aku sangkakan. cerita lanjut pasal majlis tu korang boleh pergi ke sini.

kisah kecil dua
aku secara tidak tiba-tiba telah dilantik menjadi pengawas pmr di satu sekolah tu. korang pun taukan bahawa pmr telah berlangusng selama 3 hari-satu satu mamat ni (calon pmr)-aku perhatikan dia selama 3 hari ni-adalah amat menyedihkan kerana bagi kertas objektif untuk apa2 subjek, dia akan tandkan semuanya A, atau semuanya B, atau semuanya C atau semuanya D. dia langsung tak ada hati nak buka kertas soalan peperiksaan tu-dia tandakan n tidur semahunya. untuk soalan subjektif pula, dia hantar kertas kosong. kesian beb, dia langsung tak ada motivasi untuk belajar-untuk sekurang2nya kalau pun dia tak ada belas kasihan terhadap ibu bapanya, dia kasihankanlah dirinya sendiri-tapi dia langsung tak ada perasaan begitu. agaknya cerahkah jalan di depannya nanti?

penatnya nak tulis lagi. aku rasalah, aku pun dah tak ada motivasi untuk tulis2 atau conteng2 kat sini. haih. korang tengoklah gambar ni-aku snap masa raya hari tu. geffren lama aku ni.


byes!

Sunday, September 13, 2009

aku dan keterujaan

di bahagian2 tertentu entri ini ditulis khas untuk menyalahkan orang lain.

hari raya menjelang tiba(ayat skema). sebenarnya, aku amat berpengalaman menyambut hari raya. termasuk tahun ni, aku sudah menyambut hari raya sebanyak 32 kali. ini sudah cukup menggambarkan pengalaman aku yang amat luas dalam soal ini. tapi hari raya kali ni berbeza tau. oleh sebab itu, adalah beberapa keterujaan untuk menyambutnya.

keterujaan yang pertama aka keterujaan 1.0
1.1-puan salmiza telah berjaya melahirkan saudara irfaan pada 16/11/08 yang lalu. jadi, tahun ini menjadi tahun pertamalah aku dan puan salmiza menyambut hari raya dengan kehadian saudara irfaan. hmm, aku teruja beb. yang pertamanya, orang kampung yang amat prihatin itu tidak perlu lagi nak bertanya soalan menyakitkan hati seperti,"korang ni bila lagi nak dapat anak?" seolah-olah mendapat anak itu seperti pergi menulis surat permohonan kat mana-mana pejabat pendaftaran dan pegawai pejabat itu akan proses permohonan dan pemeriksaan kelayakan menjadi ibu bapa dan seterusnya mereka memberi kami satu anak atau dua anak sekaligus mengikut kemampuan. dan mereka juga menentukan nak kasi aku ni anak lelaki atau perempuan. heh! itu rezeki ditentukan Tuhan, itu tak faham2 lagike. dalam hal ini, aku bersimpati dengan sahabatku seperti nurul-joe, pidah -husband, epol-mas, siti murni-husband, dan ramai lagi kawan2ku yang sudah beberapa tahun berkahwin tetapi belum mendapat anak. moga-moga rezeki kalian murah selepas raya ni.amin.

1.2 aku mengalami keterujaan kerana yeay! baju melayu aku tahun ni sama corak n warna dengan baju melayu saudara irfaan (yang dijahitkan oleh mak tam (tq maktam). ahah, saudara irfaan pasti bertambah tahap kecomelannya kerana memakai baju melayu yang pastinya bersaiz amat comel pula. hari sabtu akan datang ni, irfaan boleh cuba baju melayu tu.

1.3 aku mengalami keterujaan kerana sesi fotogerapi tahun ni kami bertiga-tahun2 lepas, kesian aku sebab asik-asik bergambar dengan puan salmiza dan anak buah-kali ni gambar keluarga kecilku akan berhias cantik dengan adanya saudara irfaan-aum, keterujaan yang melampau-lampau!

keterujaan yang kedua aka 2.0
2.1 aku nak salahkan encik zul atas keterujaan ini. bayangkan, kami dah tak berjumpa sejak tahun 1997. alih-alih, petang tu aku mendapat panggilan telefon daripada encik zul yang pada mulanya ingin menyamar tetapi gagal kerana ketawanya yang tidak berubah-ubah-kuikuikui kantoi! dia ni kan tak pernah berubah dalam soal-soal yang kreatif-dalam panggilan tu encik zul telah memberitahuku bahawa dia dengan tiba-tiba ingin mengusahakan reunion pelajar tingkatan enam-tahun 1997-membuat reunion ialah perkara biasakan, tapi buat kami ini ialah kami pertama.jadi, aku terpaksa teruja kerana nak jumpa balik kawan-kawan lama yang dulunya sama-sama buat hal kat sekolah (ini sesi pembongkaran rahsia tanpa paksaan). so, encik zul, hang yang bersalah dalam keterujaanku ini.

2.2 si lizawati, melalui usaha encik zul telah menyemarakkan lagi keterujaan aku dengan mengupdatekan pasal reunion tu-hal ini menyebabkan keterujaan aku semakin bersemarak lagi-hmm, dengan ikhlasnya aku menyalahkan puan lizawati kerana kesinambungan keterujaanku ini. so, puan lizawati, hang pun aku salahkan juga.

2.3 atas sebab2 yang tidak aku ketahui, puan norhayati ghani telah menelefonku suatu petang itu dengan memberikan aku teka-teki tentang siapakah dirinya. oh ini pun satu hal. dah hampir 13 tahun tak berbual, jadi aku gagallah nak menjawab teka-teki tu-akhirnya aku tahu bahawa puan norhayati di hujung talian-haih, seorang kawan baik menelefon setelah sekian lama tak menelefon-pastilah aku teruja. apatah lagi kawan baik yang menelefon setelah sekian lama tak menelefon ni secara ikhlas dan bukan pula menelefon untuk menjual insurans atau menjual produk hai-o atau apa-apa produk lain. terima kasih untuk panggilan itu tetapi puan norhayati juga turut bersalah atas keterujaanku ini.

buat kawan2 dari pra universiti tahun 1996 sekolah menengah pendang, kedah-moga pertemuan ini bakal merapatkan kembali ukhuwah yang sebelum ini telah terjalin rapat. amin.

hoh, nampaknya aku sudah puas menyalahkan orang lain. jadi, sempena hari mulia yang bakal menjelang tiba ini-aku memohon ampun dan maaf atas salah silap yang aku lakukan. byes.
terima kasih yew garden kerana membenarkan aku snap gambar2 bunga kat sana.

Thursday, September 10, 2009

aku dan kekecewaan

entri kali ni untuk memuaskan hati cik azrianna pula. harap2 dia puas hatilah.

kalaulah aku menelefon radio panas fm, dan dj dia tanya,"panas tak hari awak hari ni?" aku pasti akan jawab "hari ni sejuk sesangat.macam nak beku,"-kalau itulah takrifannya untuk menyatakan apa yang aku alami hari ni. hari ni hari yang mengecewakan sebenarnya.

memanglah berasa kecewa ialah sesuatu yang lumrah dalam hidup kita, tapi menghadapi kekecewaan itu bukanlah sesuatu yang mudah pula bagiku. dan mengapakah aku kecewa sangat sehingga sanggup pula ditulis di sini hingga akhirnya nanti boleh dibaca pula oleh sesiapa sahaja.

kecewalah bila orang yang selama ini kita sanjung sebagai amat baik akhirnya cuba memperbodohkan kita pula. hai, takkan tak kecewa kot? sebagai manusia serba lemah ini, aku tidak mampu menghadapi situasi ini tanpa melibatkan apa-apa bentuk perasaan.jadi, nasihat aku melalui entri ini ialah, jangan cuba-cuba memperbodohkan orang lain ataupun aku kerana aku rasa aku bukanlah bodoh untuk semudahnya diperbodohkan.

lagi satu, bulan puasa ni, janganlah buat macam tu-banyakkan berzikir ke, baca quran ke, kan bagus macam tu-ini tidak, alih-laih, nak bodohkan orang pulak. haih,n haih serta haih!

byes. oh sebelum tu, tahniah buat pelajarku yang bernama ng pui san, yang kadang2 aku panggil cik puipui kerana menyahut cabaran dan saranan kawan2 dia untuk berpuasa. dan dia berjaya melakukannya. tahniah, cik puipui!

Sunday, September 6, 2009

aku dan macik yang memadamkan semangat patriotik

hmm, aku bersetuju jugalah dengan kata-kata cik fazlinda bahawa aku agak lama tak updatekan blog ni-tapi aku tak setujulah kata2nya yang agak celupar itu bahawa aku pemalas-heh, awak ingat saya tak ada kerja lain nak dibuat ke?

kali ni aku nak tulis sesuatu yang aku tajukkan sebagai aku dan macik yang memadamkan semangat patriotik.

semalamlah harinya dimana aku dengan baik hatinya menjadi driver mem aku pegi ke sana-sini-mula2 tu aku pergi ke senheng subang perdana-beli alat buat kuih-tahun ni puan salmiza dah decide untuk membuat kuih sendiri tanpa sumbangan tenaga puan salwa. sebabnya, puan salwa tu busylah-dia dah ada karier tahun ni.

mula2 sekali kami sampai ke senheng dan puan salmiza ni dengan cepatnya telah membeli mesin tu-harga dia murah je-rm99-tambah rm3 boleh pula dapat gerenti 2 tahun-ini sudah kira bagus sebab mesin lama yang rosak tu pun bukannya rosak kerana terlalu digunakan tetapi rosak kerana mungkin diguna sekali je dalam setahun.

sebenarnya, aku amat menyedari bahawa banyak barang2 dapur rumahku yang boleh dianggap sangat underuse seperti oven, microwave, dan macam2 lagi-hmmm, aku nak buat kajian mendalam lepas ni dan bentangkan depan puan salmiza.

selepas aku mengeluarkan wang dan serahkan kepada encik senheng punya pekerja, aku memandu cik viva ke kota damansara-ada kedai tu-nama dia-bagus-dia hanya menjual alat-alat dan bahan-bahan membuat kuih-muih atau kek-so, itulah kebaikannya tinggal di bandar aku rasakan-kalau kat kampung aku ada kedai ni-alamat bank-keraplah pemilik kedai tu. mana ada orang kampung nak buat kek hari2 kan. banyak jugalah jenis manusia yang aku lihat di kedai tu.

mula-mulanya aku tak nak masuk sebab kedai tu macam khas utk cik puan-cik puan sahaja- tetapi atas kemithalian aku sebagai suami-aku pun melangkah kaki masuk ke dalam kedai tu lalu aku menjerit sekuat hatiku. beginilah gayanya," ambillah apa saja yang sayang nak beli, abang akan bayarkan," jeritku sekuat hati di dalam hatiku. kuikuikui-tak boleh jerit di luar hati-bahaya!

oh aku ternampak satu kakak ni sedang membelek helaian kertas dari majalah-ternyata itu halaman resepi kuih raya-ternyata kakak ini amat tidak profesional. biarlah dia dengan ketidakprofesionalannya-tugas aku ialah menjinjit bakul dan mengekor puan salmiza-lepas satu demi satu barang dimasukkan ke dalam bakul tu, aku perasan jumlah kilogram bakul itu semakin bertambah-ini amat berbahaya kerana ini membawa maksud bahawa jumlah rm aku akan semakin berkurang pula-tak apalah-demi isteri terchenta-lagipun, yang akan membaham kuih-muih pun bukannya orang lain-diriku dan orang-orang lain juga.

oh aku pun ternampak satu macik ni bersama beberapa orang anak kecil-anak lelaki macik ni ternampak bendera malaysia yang kecik dan cute serta comel pula dijual di situ-tanpa sebarang rasa berslaah, anak kecil ni pun menyuruh macik ni beli bendera tu-" nak buat apa?" tanya macik tu, agak kuat suaranya-bosan barangkali dengan rengetan anaknya. "Nak letak atas kek nanti," jawab anaknya. "Hisy (atau 'hisyi...' kalau mengikut sebutan cik sheryl, 1 hormat), tak pernah dibuat orang," balas macik tu.kemudian, sambungnya pula," mak nak letakkan bunga ni kat atas kek tu,"kata macik tu pula sambil menunjukkan satu jenis bunga yang biasa kita lihat orang letakkan kat atas kek.

tengok tu-macam mana kita nak semai sifat patriotik dalam kalangan anak-anak kalau mak bapak sendiri tak ambil inisiatif-nampaknya, macik ni tidak memahami bahawa anaknya mempunyai semangat patriotik yang tebal dan menyala-nyala serta membuak-buak tetapi macik nilah yang bertanggungjawab memadam semangat patriotik tu. hishi, macik, macik. tak baik tau.

ingat, cintailah negara kita-sebab-kalau kita tak ada negara, kat mana kita nak tinggal. last-last, meninggal. korang nak macam tu?

oh aku tak nak tulis lagilah-byes-oh, sebelum tu, selamat berpuasa dan tengoklah gambar ni yang aku amik dari tempat chepah.

cik fazlinda, puas hati awak sekarang?

Thursday, August 13, 2009

aku dan apa-apalah

yang sebenarnya, aku ni tengah sibuk. tapi, disebabkan aku nak menulis sesuatu di sini, aku abaikan sekejaplah kesibukan aku tu. tak banyaklah aku nak tulis kali ni-cuma ni je.

1)h1n1 tu menakutkan betul. minta dijauhkan!
2)bulan puasa dah dekat-yeay!
3)tahun ni dapat mulakan puasa kat kedah lagi. yeay also.
4)aku dah tak sabar2 nak balik kampung-nak tunjukkan cik abang yang dah mula merangkak-keterujaan ayah cik abang ni samalah macam keterujaan nenek2 dan datuk2 serta suku-sakat kat kampung nak tengok cik abang-

oh, ada gambar untuk kalian menontonnya. tontonlah sepuas hati.


ni gambar salah satu barang permainan cik abang yang cik abang selalu gigit tanpa segan silu. tangkap guna 350d canon-harta benda sendiri punya.

ni gambar cik abang tengah makan-amik dari sudut atas n gunakan harta benda sekolah yakni 450d canon sri aman punya-aku rasmi dulu sebelum budak2 editorial board guna. nyehnyehnyeh...

okeys, byeis! sama-sama kaseh-bak kata cik pah.

Thursday, July 23, 2009

aku dan arsenal



aku dah tak minat arsenal dah.

untuk pengetahuan koranglah, sejak zaman eric cantona bermain dengan manchester united lagi, aku dah jatuh cinta dengan arsenal. lama jugak kan. orang berduyun2 menyokong MU tapi aku tetap menyokong arsenal.

ada banyak sebablah.
1)permainan one-touch football mereka menarik.
2)aku amat meminati pasukan bola sepak peranchis, yang mana ramai pemainnya bermain untuk kelab arsenal-henry, wiltord, pires, vieira dan generasi sekarang clichy dan banyak nama lagi.
3)aku pun minat england jugak-masa tu, sol campbell dan david seaman bermain dengan arsenal.
4)pengurus kelab ini, iaitu arsene wenger ialah seorang yang hebat kerana dia bukan hanya menjadi pengurus yang bijak mencorak bentuk permainan bagi kelab ini-dia juga amat bijak dalam soal pembelian pemain dan dia juga terbukti hebat dalam soal membentuk pemain muda untuk menjadi pemain yang hebat. pengurus2 kelab lain ramai yang bukan sahaja kurang mahir membentuk pemain muda malahan membeli pemain juga tidak bijak.

walaubagaimanapun, cinta aku terhadap arsenal terkubur juga-sudah beberapa musim aku menantikan perubahan dalam polisi pembelian pemain oleh encik arsene tetapi aku amat kecewa dengan polisi yang digunapakai sehingga hari ini.

sir alex ferguson pernah berkata bahawa "pasukan yang menjual pemain terbaiknya tidak akan mampu mendapat kejuaraan," katanya suatu ketika dahulu. aku amat bersetuju dengan kata-katanya itu.

kenapa aku tidak akan menyokong kelab ini pada masa akan datang. inilah sebabnya;

1)aku rasa arsenal tidak patut lagi bercakap soal kejuaraan kerana kelab ini tidak lagi berusaha ke arah itu-satu-kerana pemain2 terbaik dijual kepada kelab lain tanpa digantikan oleh pemain yang lebih baik-contoh:
pires dijual kpd villareal,
freddie ljungberg dijual kepada west ham,
vieira dijual kepada juventus,
flamini dijual kepada ac milan,
sol campbell dilepaskan kepada portmouth
gilberto silva ke kelab mana tah
dennis berkamp bersara
david seaman menyertai manchester city sebelum bersara
henry dan hleb dijual kepada barcelona
dan ramai lagi

serta paling baru
adebayor dan kolo toure dijual kepada manchester city

hampir semua pemain ini digantikan oleh pemain muda-remaja. tidak ada nama2 besar yang masuk. memanglah begitu buat arsenal-pemain2 biasa masuk, dibentuk dan dijual untuk keuntungan perniagaan.adebayor dibeli pada harga 5 juta dan dijual sebanyak 25 juta-untung kan?

mengapa aku nekad tidak mahu menyokong arsenal lagi?
1)aku menganggap arsenal tidak lebih daripada akademi yang melahirkan pemain terbaik-untuk dijual atas kepentingan perniagaan atau bayar hutang kelab bina stadium
2)kelab ini tidak berusaha mengejar kejuaraan seperti dulu lagi
3)Pemain2 kegemaran aku semuanya tidak ada lagi diarsenal-kolo toure ialah pemain terakhir generasi emas arsenal-generasi yang melakukan treble-generasi yang bermati-matian untuk menjadi juara dan bukannya sekadar menjadi 4 kelab terbaik
4)aku rasa kepakaran encik arsene itu dipergunakan sepenuhnya oleh board of director kelab arsenal untuk membentuk pemain muda yang hebat dan kemudiannya dijual-aku rasa tidak lama lagi fabregas akan menyertai barcelona semula-demi perniagaan.
5)aku tidak lagi sekadar mahu menyokong pasukan yang bermain dengan permainan cantik tetapi pasukan yang berusaha untuk manjadi juara.

oh cukuplah.

mungkin aku akan menyokong MU pulak-kerana encik owen dan encik park ji sung yang bermata sepet itu bermain di situ. adakah aku pengkhianat? suka hati akulah nak sokong siapa.

byes.

liwat-ketawa-complain!

kisah2 pendek yang amat pendek pula tetapi ada satu yang tak sangat pendeklah.

liwat atau lewat?
adalah satu manusia ni. di celah2 rintik hujan dan detik waktu yang mendesak, dia terkocoh2 ingin meninggalkan sekolah-ada hal katanya. itulah dia, dalam kecoh2 tu ada orang bertanya, " apahal ko gopoh2 sangat ni?" kemudian, dia menjawab dengan amat pantas, " aku dah liwat ni," katanya tanpa dia sedari ada sebutan perkataan yang mendatangkan makna yang amat bahaya.

aku beberapa kawan yang lain yang tumpang dengar ayat dia tu ketawa terkekeh2lah. okey, habis kisah satu.

misi yang ketawakan pesakit.

aku perasanlah bila anak aku tidur waktu malam, nafas dia macam tak selesa sangat sebab kahak yang banyak agaknya. atas keprihatinan seorang bapa dan ibu, ibu bapa anak aku itu pun membawanya ke klinik. sebagai bapa mithali, aku dukung anak aku while mem aku pula dari awal lagi jadi driver-sampai saja di klinik, ada satu misi tu suruh aku letakkan irfaan di atas penimbang-bayi mesti dibaringkan-aku yang mendukung irfaan letakkan dulu irfaan dalam keadaan berdiri sementara aku kemaskan cekakan tangan aku di kedua2 belah ketiak irfaan-entah apa malangnya, misi yang melihat aksi aku tu ketawa sambil menoleh ke arah misi yang satu lagi sambil berkata dengan sinisnya, "berdiri" merujuk tindakan aku letak irfaan berdiri di atas penimbang itu. misi tu fikir aku memang nak timbang irfaan sambil berdiri iaitu sesuatu yang yang tidak kena caranya-misi dua orang ini menjalinkan kerjasama yang amat padu dengan cara ketawakan aku bersama2 pula kerana kelucuan tahap cipan agaknya-aku hilang sabar lalu aku melontarkan vokal aku dengan padat dan sendat ke arah kedua2 misi yang ketawa tu dengan kata2 manis seperti ini," can u stop laughing at me? kerja u ialah membantu pesakit n bukan ketawakan pesakit,faham!-kesimpulannya, misi dua orang tu terkejut kecipanan lantas meneruskan kerjasama mereka yang amat terserlah itu untuk tersengih2 kemalu-maluan bersama2. padan muka!

kerja complain!

oh adalah satu makhluk ni, bila orang buat kerja, jangankan batang hidung, malahan kaki, tangan, dan lain2 anggota badan dia langsung tak nampak-ghaib macam tu je-kebolehan dia mengghaibkan diri dalam masa yang singkat ni kira genius tahap dewa--tapi bila orang dah siap buat kerja, sekali lagi kegeniusannya terserlah kerana dia muncul tepat pada masanya dengan gaya amat selamba dan dengan bijaksana pula dia mula complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,
complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,
complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,
complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,complain,
complain,complain,complain (banyak lagile perkataan ni aku kena taip sebab complainnya banyak berkoyan-koyan tau.) soalan aku kepada makhluk ni, "hoi, ko ni bila nak insaf?"

yang dalam mangkuk tu ialah cendol pulut yang ada letak aiskrim dari restoran jo cendol pulut di jalan ke bukit kayu hitam-yang pegang baby tu ialah isteri kepada bapa anak aku n yang dipegang oleh mama anak aku itu ialah anak isteri aku dan aku.
gambar ni ditujukan buat cik farhana dan manusia2 lain yang nak tengok gambar anak aku dengan mem aku-tengoklah sepuas hati korang.

byes!

Sunday, July 19, 2009

baca sampai habis!

malam tu ada le sekali, aku bertanya pui san pasal nak tukar template blog-ramai sangat yang begitu prihatin mengomen blog aku ni yang kelihatannya hitam legam amat. jadi, hari ni, entah apa yang merasuk aku, n berasaskan pui san punya idea, n berasaskan satu info yang aku jumpa kat internet, aku tukar template blog aku.

semua entri aku selamat-kecuali benda2 kat tepi tu-semuanya hilang-mungkin sebab aku tak pandai kot-aku kena buat semula-penatlah jugak-tapi akhirnya-macam dapat rumah baru pulak. yeay!

sebab ramai sangat yang bertanya kenapa cekgu punya blog tak ada shoutbox, akhirnya aku masukkan balik shoutbox tu-harap2nya takdelah peracau yang meroyan kat situ nanti.

ini pengumuman-
sesiapa yang aku lupa nak masukkan link blog dia di sini, harap maafkan aku-ya, aku sedar banyak blog yang tidak dilinkkan ke sini seperti dulu-harap bersabar n jangan marah-kemudian2, aku akan linkkan blog korang ke sini semula.

okey, byes.

Monday, July 6, 2009

aku-punya-novel awal remaja-yang terbaru

ok, novel awal remaja aku yang terbaru bakal terbit. ini ialah siri JOM IKUT KAMI.


sinopsis:
“Kita akan menjejaki mereka. Tetapi ingat, mereka tahu selok-belok hutan ini. Jika mereka sedar kehadiran kita, pasti kita tertangkap. Hutan ini pula sudah seperti rumah mereka,” kata Samad, seperti seorang jeneral angkatan tentera.
Rakan-rakannya yang lain akur dengan kata-kata Samad yang berbaur arahan itu.
“Ingat, setiap kali kita melangkah, kita perlu buat penanda jalan. Sekurang-kurangnya, jika ada penduduk kampung yang menjejak kita nanti, ada tanda yang ditinggalkan sepanjang jalan,” kata Samad lagi.
“Tetapi, kita hendak membuat penanda dengan menggunakan apa? Kita tidak ada tali atau apa-apa pun,” kata Boon Seng pula.
Samad dan kawan-kawannya pasti tidak akan melupakan pengalaman tersesat di dalam hutan. Lebih mengejutkan, mereka terperangkap dalam satu komplot yang amat jahat pula. Komplot apakah itu? Bagaimana Samad dan kawan-kawannya menghadapi cabaran kali ini?

tentang buku ni;
ini siri yang kedua(JOM IKUT KAMI: TRAGEDI HUTAN LIPUR)kali ini-cuti sekolah-mereka pergi ke rumah kakak salamah yang tidak jauh daripada hutan lipur-mereka berkhemah-dan di situlah masalah demi masalah menimpa. bacalah, semoga terhibur. siri kedua ni bersifat pengembaraan dan penyiasatan.

ok, byes.

Monday, June 22, 2009

hantu-hantu berkeliaran

keadaan sudah menjadi amat menakutkan. dimana-mana siaran televisyen memaparkan hantu-hantu yang begitu banyak sekali dalam masyarakat kita. heh!

setahu akulah, ramai orang takutkan hantu-kerana gambaran tentang hantu itu amatlah menakutkan. juga digambarkan bahawa hantu ini kerjanya tidak adalah yang lain selain menakutkan orang. kalau sekalipun dia dah pencen makan darah orang, sekurang-kurangnya gambaran tentang hantu itu masih menakutkan. tak pernah pulalah aku dengar orang yang terserempak dengan hantu itu disapa penuh dengan senyuman-pendek kata, tiada kemesraan atua kasih sayang. budi bahasa jauh sekalilah.

oh sejak orang korea dan jepun berjaya menghasilkan filem seram yang memangnya menyeramkan-penggiat filem kita berlumba-lumbalah menghasilkan filem seram. maka berkoyan-koyanlah drama hantu dan banyaklah hantu di sana-sini-pun begitu-babak hantu ni bukanlah kerap sangat sehingga penonton perlulah bersabar menantikan kemunculan hantu tu-alangkah bosannya.

ini berita baiklah-sekarang ni hantu berkeliaran dalam filem dan drama tempatan-hantu ada siang dan malam. ramai orang dah berani menonton hantu sebab hantu2 ni tidaklah sangat menakutkan lagi-sebab dah terlalu banyak.

ini berita lagi baik agaknya-ada hantu yang sekali pandang rasa macam nak ketawa pula-kelakar sangat muka dia- tapi harap2 penonton tak ketawalah-hormatlah sikit kat hantu.

moh le aku petuakan sikit ciri2 drama hantu tempatan;
1)mata hantu mesti bercelak-kalau lelaki ke perempuan ke yang sebenarnya hantu merupakan dirinya menjadi orang mestilah pakai celak merah tebal di bawah mata.
2)90 peratus latar masa dalam drama mestilah waktu malam kalau hantu bertugas sebelah malam-guna lampu warna biru dengan banyaknya-lampu belakang semak, belakang rumah
3)Mesin asap mesti berfungsi dengan baik-letakkan tak jauh daripada lampu biru yang menyuluh bawah rumah orang kampung-kalau takde asap-nanti hantu merajuk.
5)mestilah ada watak tok bumoh yang kini berkuasa mengeluarkan bebola api ke, aura angin ke, kat tangan dia tu-kalau tak, dia tak buleh le lawan hantu.

ada lagi le ciri2 kehantuannya tapi cukuplah sampai kat sini. tak larat nak menaip.


seperti biasa, gambar buah naga ni tak de kaitan dengan entri ni-gambar ni diambik dari rumah mertuaku di jitra-oh ditujukan pula kepada cik puteri hana, pelajarku yang belum lagi pernah makan buah naga. harap2 bila dia dah makan buah naga nanti, dia tak jadilah pula hantu buah naga. nyehnyehnyehnyeh!

byes.

Tuesday, June 16, 2009

aku jatuh cinta


diriku ini dah tulis dah entri ni masa cuti tu-ni ha, diriku copykan je. baca tau-sebab kalau dah baca, maka bertambahkan pembacaan. byes.

pendahuluannya;
Cinta memerlukan keikhlasan hati yang disulam dengan elemen kasih dan sayang, kesetiaan dan kejujuran serta rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Ketiadaan salah satu elemen ini, maka cinta itu bakal menjadi cinta yang hampa. Hampa dalam erti kata kosong dan tidak bermakna!- inilah falsafah cinta ciptaanku bersempena entri kali ini.

isi pentingnya;
Ini ialah petang yang amat panas aku rasakan, sejak kepulanganku ke kampung halaman yang dicintai. Kampungku yang semakin tua dan dengan jalan-jalan yang kelihatan amat uzur itu tidaklahlah pula kurang kemesraannya. Hal ini kerana kampungku tetap mesra tersenyum menyambutku yang merupakan umat manusia yang dulunya dilahirkan dan dibesarkan di sini.

Dan entah kenapa, petang ini perasaan aku terlintas untuk menulis pasal cinta. Uuhhh, ada orang yang mudah tersentak kalau menyebut perkataan ini di sekolahku. Semacam ada arus elektrik yang mengalir seiring dengan perkataan cinta itu sendiri. Asal sebut je, tersentaklah. Sebut saja, tersentak!

Untuk pengetahuan kalian yang mungkin terlintas untuk membaca entri ini kerana mungkin kalian sedang bercinta, atau mungkin kalian sedang mencari cinta, atau mungkin baru putus cinta, atau mungkin kalian mendambakan cinta, atau mungkin kerana kalian berasa heran pula kenapa aku bercakap pasal cinta, atau mungkin kalian juga tersentak membaca tajuk entri ini, ketahuilah bahawa aku menulis entri ini dengan cara memuntahkan apa-apa yang terlintas di fikiranku sahaja tanpa merujuk kepada mana-mana buku, atau pakar cinta, kerana semuanya datang berdasarkan pemerhatian atau pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain.

Pengalaman sendiri? Uhhh, engkau ada pengalaman bercinta? Soal hatiku sendiri kepada diriku sendiri? Oi, jangan nak pandang rendah terhadap orang lain okeyyy. Kata hatiku sendiri kepada diriku sendiri. Apa, aku ini tidak layak dicintai ke? Puihhhh, keangkuhan yang membuak-buak!

Persoalan satu.
Kenapa budak-budak sekolah ni senang-senang je jatuh cinta dan senang-senang pulak putus cinta?
Aku rasalah, budak-budak ni bukannya tahu pun apa itu cinta. Mereka tak tahupun betapa luhurnya jika cinta mereka itu diletakkan di tempat yang sewajarnya. Betapa sucinya cinta. Ada orang yang ketawa bila mendengar perkataan cinta suci. Ketawanya sinis dan penuh dengan unsur ejekan. Budak-budak sekolah ni suka kepada perkara-perkara baru yang ingin mereka cuba dalam hidup mereka, apatah lagi cinta iaitu yang sebenarnya ialah perasaan kasih dan sayang antara satu manusia dengan manusia yang satu lagi. Perasaan yang menuntut sikap saling menghormati dan mengasihi. Yang aku rasakan ialah budak-budak ini mempergunakan perkataan cinta itu untuk menerokai perkara-perkara yang sebelum ini tidak pernah mereka alami. Sebabnya, cinta itulah. Cinta itulah yang membolehkan atau menghalalkan mereka melakukan perkara yang tidak senonoh kerana kesegalaannya dilakukan atas dasar cinta yang membuak-buak itulah. Cinta konon. Mana-mana pasangan yang tidak merelakan perkara-perkara ini berlaku ke atas dirinya perlulah bersedia untuk mengalami keadaan yang dikatakan putus cinta. Lebih teruk lagi, jika kedua-dua pihak dalam pasangan ini bersetuju untuk berkompromi apa-apa sahaja perlakuan mereka atas dasar cinta. Maka hanyutlah mereka ini sehanyut-hanyutnya. Kesianlah ibu dan bapa mereka.

Jadi, nasihat aku buat budak-budak sekolah yang terjebak dengan perasaan cinta pada awal usia remaja ini ialah fikirlah balik tindak-tanduk anda. Adakah tindakan anda tepat dan adakah anda sudah bertanduk. Jika sudah bertanduk, banyakkanlah keinsafan sebelum terlambat. Aku bukannya apa, aku tensen tengok budak-budak sekolah yang baru tingkatan satu atau dua, putus cinta sampai tahap nak membunuh diri, atau pengsan-pengsan di sekolah atau hilang semangat sampai kena mandi bunga. Yang susahnya mak bapak juga. Haih.

Persoalan dua.
Apahal ada orang bercinta berbulan-bulan atau bertahun-tahun tetapi perkahwinannya bertahan tak sampai suku tempoh percintaan itu sendiri? Tak pelik ke? Sedangkan orang-orang tua dahulu bercinta selepas berkahwin boleh menghasilkan anak sampai sedozen dan perkahwinan itu kekal sampai ke akhir hayat pulak tu. Tak pelik ke?

Aku rasalah, ada orang yang bercinta ini masing-masing berusaha secara bermati-matian untuk menampilkan imej atau perawakan yang paling sempurna setiap kali berdating. Atau bersua muka. Sekalipun ketika berbual di telefon. Masing-masing bermati-matian cuba menyembunyikan kelemahan masing-masing sehingga kedua-dua pihak kelihatan amat sempurna. Kemudian, bila dah berkahwin, segala lakonan pun berakhir. Yelah, takkan nak berlakon hingga akhir hayat kot, penatlah gitu kan. Bila lakonan berakhir, apa lagi mulalah episod paling dahsyat apabila masing-masing tidak dapat menerima kelemahan pasangan masing-masing. Sudahnya, bercerai. Kononnya, tak serasi sebab yang lelaki tu kaki judilah, kaki purumpuanlah, kaki kentutlah, kaki ekorlah, kaki pukullah, dan macam-macam kaki lagilah walaupun kaki dia ada dua je. Yang purumpuan pulak kaki bebellah, kaki temberanglah, kaki shoppinglah, dan macam-macam kaki lagilah walaupun kaki dia pun ada dua jugak.

penutupnya;
Jadi, apa nasihat aku ni? Takkan bukak topic je tapi tak kasi nasihat pulak? Nasihatnya macam nilah. Bercinta biarlah berpada-pada. Lebih baik kalau bercinta pada yang maha Esa. Selamat hidupmu. Amin.

soalan pengukuhan:
ada tak kena mengena tajuk di atas dengan isi penting yang dirimu baca?

Byes!

Oh, sebelum itu, salmiza, aku cinta akan kamu!

Tuesday, May 12, 2009

hukuman rotan dan si ibu yang pening lalat!

semalamlah harinya aku mendengar petikan kata2 seorang ibu yang lancang betul menyuarakan pandangannya di saluran radio Panas fm. katanya, "akak tak setuju kalau hukuman rotan dibenarkan. nanti cekgu2 akan merotan sesuka hati. akak pun hari2 pergi sekolah (mengintai2 sekolah tengok apa yang cikgu2 buat pada anak akak)." amat jengkel aku mendengar kata2 yang dilontarkan tanpa berfikir masak2 itu.

sudut pandangan A,
aku rasalah, kalau hukuman yang sedia ada tidak berkesan, dan hukuman merotan itu boleh mendatangkan rasa gerun di hati pelajar, maka hukuman itu patut dilaksanakan. untuk pengetahuan si akak ni, cekgu2 biasanya tidak boleh merotan sesuka hati. bukan juga mana2 cikgu boleh merotan. dan jika hukuman rotan amat berat tarafnya, maka pelaksanaannya juga akan dijalankan secara amat teliti dan berhati-hati pula.

aku rasalah juga, kalau si akak ni takut benar anak dia kena rotan, selalu2lah menasihati anaknya jangan buat jahat. kalau takut kena rotan jangan cari nahas. biasanya yang kena rotan ni adalah golongan pelajar yang amat bermasalah. jadi, soalan aku ialah, anak si akak ni bermasalah ke?

ada pula orang bagi cadangan, budak yang jahat ni kita buang sekolah je. biar padan dengan muka diaorang.

aku rasalah, muka yang akan dipadankan nanti ialah muka kita sendiri juga beb. sebab, budak yang kena buang sekolah ni tak ada haluan hidup beb. dia orang nilah yang biasanya cenderung pula untuk menyertai kumpulan2 budak2 nakal yang lain. akhirnya, budak2 ni merempitkan diri, membohsiakan diri, meragut orang yang jelasnya tak ada duit (orang jalan kaki atau naik motosikal atau basikal mana ada bawak duit juta2 kan? hilang akal ke apa?) dan macam2 lagilah. jadi, buang sekolah bukan penyelesaian tau.

kesimpulan sudut pandangan A ialah, kesian akak tu. lain kali kalau nak cakap kat radio tu, fikir2lah sikit. janganlah menonjolkan sangat kebengongan diri kepada seluruh rakyat malaysia yang lain.

sudut pandangan B,
aku rasalah, akak ni mungkin mengalami pengalaman yang begitu teruk ketika di bangku sekolah dulu. sebab tu lah, dia begitu tidak mempercayai guru. kesiannya. aku cadangkan, daripada akak ni sebok2 mengintai aktiviti cekgu, baik ajar je anak dia sendiri. tak payah2 nak buang masa mengintai2. bukannya dapat gajipun.

aku rasalah juga, mungkin cekgu2 pun kena fikirkan juga benda ni. kalau ada ibu bapa yang hilang kepercayaan terhadap guru seperti akak ni, dimana silapnya? takkan akak tu je yang silap. cekgu2 pun mungkin buat silap juga. jadi, melalui entri yang mungkin menimbulkan kemarahan sesiapa ni, aku mintaklah cekgu2 yang terbabas dan terbaca entri ni berfikir sejenak. mungkin kita juga ada buat silap dimana2 sehingga manusia seperti akak ni hilang kepercayaan terhadap cekgu.

ingat cekgu2, kita ini pembina negara bangsa. bukan buat kek pisang tau. kita membina negara bangsa. hui, susah tu. akhir sekali aku nak tirulah satu ayat yang best tu-juga dipetik dari saluran radio Panas.fm.

"ibu bapa dan guru, walaupun tidak setuju tetapi tetap bersatu."

byes!

Saturday, April 25, 2009

Irfaan-permata hati kami

irfaan-permata hati kami
irfaan dah lima bulan-utk sesiapa yang pernah berjumpa dgn aku, cuba korang perhatikan rambut irfaan dan bandingkan dengan rambutku-haha-sebijik beb. ALLAH maha berkuasa.

entri ini sekadar menghiasi gambar yang aku letakkan di sini. gambar ini pula sekadar memenuhi permintaan beberapa kerat manusia yang amat prihatin pula terhadap perkembangan keluargaku, terutamanya permata hati kami, irfaan yang kini sudahpun berusia lima bulan. terima kasih korangs!

ada satu sahabat bertanya kepadaku.

"irfaan dah pandai buat apa sekarang ni?" soalnya.
aku terdiam sekejaplah. kemudian, aku bersuara.
"Dah pandai mengajar. nak suruh dukung ke sana, dukung ke sini. baring-baring dah tak mau lagi dah. tidur pun sekejap2 je," balasku.
sahabatku itu yang memang amat berpengalaman dalam hal keibubapaan tertawa kecil pula.
"baguslah tu. kecik 2 lagi dah mewarisi sifat2 ibu bapanya," katanya.
"sifat2 ibu bapanya?" soalku pula.
"yelah, ibu bapa dia cikgu. cikgu mestilah pandai mengajar. bila kau cakap anak kau pandai mengajar, bukan ciri2 kau dan orang rumah kau ke?"
"ceh!"

apapun, seronok tau jadi ibu bapa ni. bulan depan aku nak mewakili irfaan untuk mengucapkan selamat hari ibu buat isteriku AKA mama irfaan itu.

bye!

Monday, April 20, 2009

tragedi-menang-menangis-kalah-gembira-tahniah

tragedi: bawak lens yang salah-auto focus slow sesangat-lagi satu, pencahayaan amat mencabar-haih!

aum, hari sukan dah habis. ini pengalaman pertama sukan di sri aman-kat skol lama dulu, kalau sport day penatlah sesangat-tapi kat sri aman ni-senang je running sport day ni-maklumlah, skol satu jantina. acara dia pun tak banyak sesangat. satu part yang aku suka pasal sukan di sri aman ni ialah-budak2 ni punya teamwork-kagum beb!

budak2 perempuan ni march past cun habis-kat skol lama dulu, penat dah ditegur tapi tak berubah2-marching macam jalan pegi pasar je-tapi kat sini, they all marching sangat bagus-then they all punya semangat nak menang tu-berkoyan-koyan banyaknya. ada yang sampai nangis2 pula bila dah menang-part tu aku suka beb. sebagai cikgulah, aku suka tengok budak2 ni gembira sampai nangis2 gitu. ada beberapa sebablah;

1)hanya yang betul2 berusaha sahaja akan menangis gitu bila berjaya-kerana usahanya berbaloi-dan kerja kerasnya membuahkan hasil

2)hanya yang berjaya sahaja dapat menikmati kegembiraan-kalah takkan nak hepi kot?

akhirnya-dalam entri yang aku tulis di celah2 kesibukan-aku nak ucapkanlah;

1)tahniah kepada RUMAH BIRU kerana berjaya mengekalkan kejuaraan-untuk menjadi juara tu memang sukar beb. tapi, nak mengekalkan kejuaraan lagi sukar-so, tahniah...tetapi berwaspadalah dengan cabaran, terutamanya daripada pejuang2 kuning

2)tahniah kepada RUMAH KUNING kerana anda juara di hatiku. pertama, korang dah membuktikan yang berada di bawah takkan selamanya berada di bawah-usaha terus usaha-akhirnya korang membuktikan keupayaan-dan korang bukannya kurang upaya-tahniah sebab dah menang olahragawati kelas 2 dan olahragawati kelas 3-tahniah sebab korang juara senamrobik-juga juara arak lintas!

3)tahniah buat RUMAH MERAH dan RUMAH HIJAU-korang patut diberi kredit juga-sebab padaku, korang tetap memberi saingan kepada biru dan kuning-cuma, merah kena bangkit-dan hijau kena tambahkan semangat!


ok, adios!

Friday, April 3, 2009

aku-bukan-fotogeraper



p/s: gambar2 lain korang buleh tengok di galery aka flickr!

aku dapat kerja baru hari ni. kerja baru ni sebenarnya taklah baru benar. sebab di seri cahaya dulu, kerja ni dah biasa aku buat. kerjanya mudah je; ambik gambar tu, ambik gambar ni. aku bawaklah kamera yang kelihatannya amat berkuasa tu ke sekolah-ambik gambar tu dan ni. ramai budak yg tengok dan ramai ynag belek2 kamera aku sebab dia pun ada kamera macam tu jugak.

rasa akulah-ramai orang dah mampu beli DSLR-sebab tu-ramai orang mengakui dirinya potogeraper-ramai orang pun pikir begitu-nampak ada orang menggalas kamera-anggap dia potogeraper-aku tak rasa aku potogeraper pun-yang aku rasakan ialah aku lelaki biasa yang ada kamera dan mengusungnya bila ada keperluan dan bila tak ada kerja lain nak dibuat-pasal skill potogeraper aku pulak-malulah nak cakap-teruk beb! aku tak kreatif pasl ambik2 gambar ni- aku rasa aku adalah passion dalam hobi ni. hmmm, d5!

jadi, ini jemputan buat koranglah- sesapa yang ada kamera macam tu-n nak kongsi ilmu dan skill yang tak mengira usia tu-korang add le diri korang sebagai aku punya contact dalam flickr tu-ini bukan usaha nak tambah contact-ini usaha nak tambah ilmu!

marilah kita jadi orang2 yang berilmu dalam ilmu2 yang bermanfaat pulak tu.

byes!

Tuesday, March 31, 2009

selamat datang kalian!

adalah beberapa orang pelajar di sri aman yang berselisih denganku dan menjelaskan bahawa mereka terjumpa blog aku (ayat skema!)-oh, memang itulah aku, salah seorang manusia di dunia ini yang ada blog. jadi, selamat datanglah kalian. buatlah seperti rumah sendiri.bacalah entri yang ada-bayaran tidak dikenakan.

byes!

Friday, March 27, 2009

demi kasih dan sayang. kononlah!

uih, dah lama jugalah blog ni tak ditulis dengan benda2 baru. sebenarnya, aku tak buleh nak gunakan streamyx, ada problem dengan line. so, aku bayar tapi tak buleh guna. yeay :(

kemudian, adalah beberapa manusia tu berkata, "cikgu dah lama tak updatekan blog cikgu. kami dah banyak kali pergi blog cikgu nak baca tapi entri dia sama saja," (jenis ayat: ayat membodek yang bersahaja)

kemudian, adalah beberapa manusia tu bertanya kepadaku, " cikgu, cikgu tak pernah pun tulis apa-apa tentang kelas kami dalam blog cikgu. kami sedih tau," katanya. (ada penambahan sikit-sikitlah untuk menyedapkan dialog kat atas tu.

aku pun dok pikir2lah apa benda yang buleh aku tuliskan tentang manusia2 tu. akhirnya, datanglah satu idea. bukankah aku ini penulis? a'ha! maka terhasillah sebuah kisah yang amat cacamarba sifatnya. bacalah dengan hati yang tenang dan fikiran yang waras. harapanku, dengan adanya entri ni, akan berbahagialah mereka semua.

Perhatian:
Cerpendek ini ditulis dengan tujuan untuk menambahkan pembacaan, sumber hiburan dan mengimbas kenangan yang pernah berlaku di dalam Tingkatan 2 Erat pada tahun 2009, kelas kendalian encik Alias Derais. Cerpendek ini ditulis bukan dengan niat hendak mengaibkan atau memalukan sesiapa. Nama-nama yang disebutkan di dalam cerpen ini ialah nama sebenar. Namun, jalan cerita bagi cerita ini dan karektor yang dinyatakan pada nama watak-watak ini hanyalah rekaan sahaja dan tidak ada kaitan dengan nama-nama watak ini. Jika ada, itu hanyalah persamaan yang berlaku secara kebetulan sahaja. Terima kasih.


tajuk: Tingkatan Dua Erat dan sebuah alkisah!
penulisnya: alias derais


Hari ini samalah seperti semalam. Cuaca panas. Bahangnya bukan main lagi terasa. Buat sekian kalinya, loceng pun berderinglah semahu-mahunya menunjukkan cikgu BM mesti cepat-cepat masuk ke kelas 2E. budak-budak itu sudah tidak bersabar-sabar lagi hendak menimba ilmu. kononlah!

Langkah cikgu itu dipanjangkan. Dia tidak boleh lambat. Masa itu emas. Anak tangga demi anak tangga dipanjatnya. Akhirnya, pandangan mata cikgu itu terpampan pada sekujur tubuh manusia bernama li yin yang berdiri di depan muka pintu. Cikgu itu tahu, li yin bukanlah hendak menyambut kedatangannya. Bukan. Bukan. Li yin mengabdikan dirinya untuk meniup siren kecemasan yang sebenarnya tidaklah cemas sangat untuk menandakan bahawa cikgu telah tiba.

“cikgu BM dah sampai,” jeritnya yang tidaklah kuat sangat. Namun, li yin kemudiannya hampa kerana tidak ada sesiapapun yang pedulikan siren kecemasannya itu. Aduss!

Cikgu itu melangkah masuk ke dalam kelas 2E dengan penuh keyakinan diri. Kemudian, seperti biasalah, alina yang bukan ketua kelas akan mengetuai ucapan selamat sejahtera itu dengan suaranya yang amat bersemangat (setahap membuak-buak layaknya). Semua orang pun mengikuti sajalah perbuatannya itu. Tidak ada siapapun yang sedar akan kekecewaan aisyah, ketua kelas sebenar yang dirampas kuasa oleh alina dalam soal mengucapkan ucapan selamat sejahtera itu.

Alina tersenyum puas. Dan dia terus tersenyum. Dan tersenyum.
Kemudian, pelajar-pelajar yang dengan sopannya mengucapkan selamat sejahtera tadi duduklah atas kebenaran cikgu itu. Namun, langit tak selalunya cerahlah. Cikgu tadi yang merasakan dirinya amat dialu-alukan kedatangannya itu berasa kecewalah kerana atas sebab apa atau rasukan siapa, pelajar-pelajar itu duduk dan berbual-bual seperti biasa, seperti ketika cikgu tadi itu belum tiba tadi. Juga seperti tidak ada cikgu di dalam kelas itu.

Kelas pun bermulalah. Cikgu itu mula bercerita. Cerita pasal kemalangan yang memalangkan. Cerita itu disampaikan sepenuh perasaan. Pelajar-pelajar perempuan itu mendengarlah apa-apa yang cikgu itu katakan, kecuali seseorang yang ibu bapanya menamakannya alysa kerana dia sibuk membetulkan tudungnya.

Begitu juga dengan marzila. Dia tidak mendengarlah cerita cikgu itu. Dia sibuk. Dia sedang berfikir sedalam-dalamnya di alam tidurnya itu. Cikgu itu perasanlah tindakan alysa itu. Namun, alysa pula atas sebab-sebab kebiasaan yang tidak disedarinya, telah secara berterusan pula membetulkan tudungnya itu. Begitu jugalah dengan marzila yang terus menerus pula berfikir sedalam-dalamnya.

Kelas berlangsung lagilah. Cerita belum habis lagi. Kemudian, cikgu itu terpandangkan sesuatu. Oh, itu ialah manusia bernama amalina. Dia manusia biasa yang hidup bersandar pada dinding di sebelahnya. Dan dinding itu pula amat setia berkhidmat kepada amalina. Aduhai amalina!

Detik-detik yang bermakna terus berlalu. Cikgu itu berceritalah. Memang itulah kebiasaannya. Budak-budak pun mendengarlah. Memang itulah respons semulajadi mereka. Keadaan itu membuatkan cikgu itu bercerita dengan lebih rancak lagilah. Respons demi respons diterimanya, kecuali daripada dua orang budak perempuan yang emak dan ayah mereka namakan esmeralda dan nadiah. Masing-masing sibuk. Esmeralda akan terus tulis dan menulis. Ada buku kecil di mejanya.

Buku itu berkata, “Hei, cikgu sedang membulat-bulatkan mata ke arah awak tu,” tetapi malangnya esmeralda tidak pernah cuba memahami isi hati buku kecilnya itu. Dia tetap menulis. Buku itu rasa terseksa pula kerana rasa bersalah atas kesalahan yang tidak dirasakan oleh esmeralda.

Nadiah tidak kurang juga uniknya. Dia ialah penyokong tanpa gaji yang amat setia kepada esmeralda. Apa-apa yang esmeralda katakan, dia akan menyetujuinya-dan dia berdoa semoga apa-apa yang dia katakan, esmeralda akan menyiakan juga kerana itulah panji-panji kesetiaan yang mereka berdua pahatkan di dalam hati mereka masing-masing.

Hari yang panjang tidak habis lagi. Bahang panas matahari tidak menggugat semangat budak-budak 2E untuk belajar dengan penuh ketekunan. Mereka tekun mendengar cikgu itu bercerita sehinggalah marjana telah tersedar apa yang bakal berlaku.

Dia memandang cikgu itu dengan pandangan yang penuh dengan prasangka. Nampaknya cerita menarik oleh cikgu itu pada hari ini akan berakhir dengan seksaan yang amat pedih buat mereka semua. ‘Bersedialah wahai kawan-kawanku,’ laung marjana di dalam hatinya. Namun, tidak ada sesiapa yang sudi mendengarnya.

Marjana yang kuat berprasangka itu kemudiannya meniupkan prasangka itu ke dalam hati marzila yang telah habis berfikir dan syafiza yang duduk di kirinya. Kedua-dua orang kanan dan kirinya itu kini bersatu hati dengannya untuk menyiakan prasangkanya itu. Kepala mereka bertiga terangguk-anguk perlahan dihiasi prasangka yang tidak bersempadan. ‘Sesuatu bakal berlaku,’ bisik hati kecil mereka. ‘Oh Tuhan!’

Tidak lama kemudian, kebimbangan marjana dan orang kanan dan kirinya menjadi kebimbangan yang bersifat global di kelas itu. Mereka nampaknya telah terperangkap dalam cerita cikgu itu. Sudahnya, mereka terpaksa menulis karangan yang pendek sahaja tetapi didakwa amat membebankan oleh budak-budak yang amat rajin itu.

Anusha, jannani dan thilaga mengamalkan sikap yang lebih kurang sama seperti Lamsah. Mereka menghasut beberapa orang pelajar-pelajar lain membuat rancangan untuk menepis latihan karangan itu, tetapi komplot mereka yang tidak bersatu hati itu berakhir dengan kegagalan.

Sudahnya, nadhirah dengan motivasinya yang percuma itu telah berjaya mempengaruhi najwa untuk mendendangkan syair bertajuk ‘kehampaan yang abadi’ ditujukan khas buat cikgu itu. Namun usaha itu gagal. Dan gagal. Kegagalan itu menyebabkan amalina terus bersandar ke dinding kerana perasaan kecewa yang amat sangat.

Pun begitu, kekecewaan itu tidak langsung dirasai oleh sailajha, melissa, sarah dan anindita kerana mereka tidak pedulipun soal itu. Petang nanti ada latihan bola sepak. Itulah fokus mereka sekarang. Sailajha tidak sabar lagi hendak menendang bola kerana minggu lepas tendangannya semuanya gagal. Atas rasa geram itulah yang mendorongnya untuk mencuba lagi. Dan lagi. Dan lagi.

Lagipun, baru sekejap tadi mereka berbual-bual tentang pemain bola sepak kegemaran mereka. Melissa dengan yakinnya menjelaskan bahawa pemain bola sepak kegemarannya ialah Sarukan.

“Sarukan? Siapa tu?” soal sarah dan anindita, serentak.

“Dia pemain bola sepak yang hebat,” balas melissa dengan yakin dan bangga pula sambil kepalanya terangguk-angguk sikitlah.

Tiga orang rakan baiknya itu mengangguk-anggukkan kepala jugalah kerana tidak sanggup menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat melissa mengangguk-anggukkan kepalanya. Mereka bimbang melissa akan berkecil hati jika ada antara mereka yang menggeleng-gelengkan kepala.

Pun begitu, sailajha tetap ragu-ragu. Siapa sarukan? Persoalan itu bermain di fikirannya. Sarukan bermain bola sepak untuk pasukan mana? Oh, banyaklah persoalan yang timbul. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah dia sanggup menulis nota kecil yang dilipat-lipatnya dan dikirim kepada shivanthidevi yang leka bersosek-sosek dengan raisa ketika cikgu itu meninjau budak-budak yang sedang menulis karangan itu.

Sailajha kecewa sudahnya. Soalannya berkenaan Sarukan tidak mendapat perhatian daripada shivanthidevi yang khusyuk berdoa pula dengan harapan raisa akan membuat biskut lagi pada malam ini untuk dibawa ke sekolah pada esok hari.

Kemudian, keharmonian kelas itu tergugat akhirnya. Ini gara-gara cheska. Cheska itulah puncanya. Dia diarahkan berdiri oleh cikgu itu.

“Mana buku kamu?” soal cikgu itu dengan kegarangan yang terkawal akibat kewarasan fikiran yang tenang.

“Saya tak ada buku, cikgu. Saya budak baru,” jawab cheska.

Cikgu itu membeliakkan matanya ke arah cheska. Anisa yang melihatkan keadaan itu cepat-cepat berdoa agar mata cikgu itu tidaklah bertukar warnanya menjadi hijau. Dia takut benar. Dia pernah menonton filem itu dahulu. Filem itu bertajuk, ah, dia terlupa pula tajuknya. Tetapi berdasarkan filem itu, mata lelaki itu bertukar warna hijau setiap kali dia marah atau memarahi atau disakiti hatinya. Kemudiannya, badan lelaki itu membesar sehingga pecah-pecah bajunya, kecuali seluarnya.

“Awak rasa awak masih baru?” soal cikgu itu. “Ini sudah beberapa bulan, tahu,” kata cikgu itu lagi. Anisa terus berdoa sedalam-dalamnya.

“Perasaan saya mengatakannya,” jawab cheska, tanpa rasa bersalah.

Tindakan cheska itu menyebabkan cikgu itu bertambah-tambah marah. Semua orang berasa takut. Nur Ain sudah lama menahan nafasnya. Harapannya, cikgu itu tidak menyedari kewujudannya di sebelah amalina. Raisa tidak lagi bersosek-sosek dengan shivanthidevi. Buku kecil esmeralda telah selamat mendarat di dalam begnya. Begitu juga dengan novel cinta yang bertajuk ‘Cintaku Terbelah Dua’ yang thilaga pegang tadi telah selamat dimasukkan ke dalam begnya.

Najwa mula mengarang syair baru yang difikirkannya sesuai. Praveeta pula berpura-pura pengsan di tepi alina. Ketika berpura-pura pengsan itu dia menyesal pula kerana dia menyedari bahawa orang yang pengsan tidak boleh bergerak-gerak. Itu pasti meletihkannya.

Semuanya takut.

Melissa tidak lagi memuji-muji Sarukan. Sailajha telah terlupa sekejap tentang Sarukan. Xi en duduk diam-diam di tempatnya dan memulakan lakonan sebagai perempuan comel yang paling baik di dunia. Alina juga duduk diam-diam seperti xi en kerana dia sebenarnya sedang menunggu loceng berdering untuk memimpin ucapan terima kasih pula.

Zian dan abirami sedang berpeluk-pelukan kerana perasaan takut yang membuak-buak bercampur perasaan mengada-ngada. Mereka kemudiannya duduk diam-diamlah pula kerana menyedari bahawa tindakan mereka berdua itu amat keterlaluan untuk disaksikan oleh cikgu itu.

Syafeeqah terus sibuk melihat lelaki yang berjoging di luar sana. Syafeeqah kemudiannya berang kerana seekor tupai yang nakal kemudiannya menakut-nakutkan lelaki-lelaki separuh umur yang berjoging di luar sana.

Semua orang masih takut dan ketakutan itu semakin membuak-buak ketika cikgu itu kembali ke hadapan kelas.

“Ingat semua orang. Jangan malas kalau ingin berjaya. Jangan asyik memberi alasan,” kata cikgu itu, yang tiba-tiba pula memulakan ceramah tanpa kata alu-aluan.

Pelajar-pelajar itu berasa lega. Tidak ada sesiapa yang tercedera. Untuk seminit dua mereka tidak kisahlah untuk mendengar ceramah itu walaupun dalam bentuk paksaan yang berterusan. Mereka tidak kisahlah.

“Usaha ditambah pengorbanan akan menjanjikan kejayaan, faham?” soal cikgu itu di celah-celah ceramahnya.

Semua orang menganggukkan kepalalah. Itulah kepakaran semulajadi mereka. Namun, anggukan kepala suhaila, AJK BM itu sekejap sahaja. Dia kehairanan pula.
‘Macam pernah aku dengar sahaja ayat tadi, tapi dimana ya?’ soalnya di dalam hati.

Masa terus bergerak pergi. Ceramah cikgu itu telahpun habis. Pelajar-pelajar itu bersatu hatilah untuk berasa lega, kecuali suhaila. Dia masih tertanya-tanya soal ayat tadi. ‘Macam pernah dengar, tapi di mana?’ hati kecilnya bertanya lagi.

Kelas sudah hampir habis. Aisyah mula berasa bimbang. Tidak lama lagi loceng sekolah dengan setianya pula akan berdering-deringlah semahunya. Akan berpeluangkah dia? Akan berpeluangkah dia? Persoalan itu berlegar-legar di fikirannya. Dia bimbang peluangnya untuk mengucapkan terima kasih kepada cikgu itu akan dirampas dengan rakusnya sekali lagi oleh alina.

Kemudian, loceng pun berderinglah semahu-mahunya. Lalu, budak-budak itu bangunlah untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semua wajah tersenyum-senyum dan tersengih-sengih. Segala lakonan, kepengsanan, keskemaan dan doa-doa serta sosek-sosek berakhirlah.

Aisyahlah yang paling lega kerana alina yang insaf secara tiba-tiba itu telah memberi laluan kepadanya untuk melakukan upacara rutin itu. Pelajar-pelajar kelas itu mengucapkan terima kasih dengan dipimpin oleh aisyah yang kembang-kempis hidungnya itu akibat kebanggaan yang membuak-buak.

Pun begitu, bukanlah semua orang berasa lega. Malang sekali buat sailajha dan suhaila. Mereka masing-masing tertanya-tanya. ‘Tapi dimana ya?’ soal hati kecil suhaila. Sailajha juga begitu. Fikirannya amat terganggu.

Siapakah Sarukan?

-:-tamat-:-

Wednesday, February 25, 2009

hati-hati menjaga hati

ini minggu yang meletihkan. memang benarlah agaknya bila orang kata perempuan ni hati dia lembut dan mudah terguris. aku lemah sikit bab2 macam ni. itulah silapnya kot. dalam pada aku berhati-hati tu, terbabas le jugak. bekerja di sekolah perempuan ni, aku masih lagi terbawa2 dengan cara bekerja di sekolah lama-bahasa aku padat dan terus-menerus-kadang2 tak beralas-sudahnya hati tersakit-terguris-terluka-maaflah sesiapa yang kalau2 terguris hatinya. sesungguhnya aku tidak punya niat mengguris hati sesiapa.

yang benar,
atas dasar keinsanan yang luhur!


ni gambar hiasan kali ni. yang terbaik je dapat benda ni. walaupun benda ni bukannya mahal benar kalau dibuat sendiri. tapi apalah maknanya kalau dibuat sendiri dan bukannya dianugerahkan...

byes!

Tuesday, February 17, 2009

diriku-jaga-hairan-membuak-buak

hari Isnin. awal petang hari. cuaca panas. angin berhembus perlahan bersama bahang mentari.

kawasan antara kantin dan bilik guru. tiba-tiba, diriku ini disapa oleh seseorang dalam pada aku sedang berjalan menuju ke kantin.
"Mana mau pigi? sudah tulis nama ka?"
aku terpinga-pinga. mengapa mesti tulis nama untuk pergi ke kantin?
"Saya mau pergi kantin," jawabku.
"Mau cari siapa di sana?"
sekali lagi aku kehairanan.
"Saya mau makanlah. saya belum makan lagi," jawabku lagi. tenang tetapi berasa ganjil.
"Nama sudah tulis ka? orang luar tak boleh makan di kantin. mesti makan di luar juga."
orang luar? siapa orang luar? aku masih diserang rasa hairan yang membuak-buak.
tiba-tiba seorang guru lain datang ke arahku.
"Dia datang sini mau makan di kantin," adu suara tadi kepada cikgu itu.
"Dia cikgu sinilah, kakak. dia sini juga kerja," kata cikgu itu lagi.
ceh! rupa2nya kakak jaga (security) ni ingat aku orang luar. padahal, di poket bajuku tertulis nama aku.
"Oo, ini cikgu ka? sekolah purumpuan ada cikgu lelaki ka?"
derrrrrr... habis tu ko ingat si hulam, si usop n si cheah tu purumpuan ke? haih!
n haih! n haih!

aku maleh nak uploadkan gambar utk en3 ni. kemudian2lah.

nota tambahan: untuk budak2 seri cahaya, gambar korang yang pergi leadership camp baru2 ni sudah diriku uploadkan di flickr-sila tatapi gambar2 korangs yang cun itu.

byes korangs!

Saturday, February 14, 2009

saman-hambik kau!

pernahlah sekali tu, orang rumah aku mengeluh, "haihhh, beratnya laptop ni," keluh beliau. aku yang mendengarnya buat-buat tak dengar jelah. rasa aku, laptop aku tu bukannya berat benar pun. tapi, biarlah.

okey cerita ni melarat sampai ke sinilah. lusa, 16 feb is hari lahir orang rumah akulah. aku tak ingat pukul berapa, tapi pada hari tulah orang rumah aku dan adik-adiknya selamat dilahirkan. aku akan buatlah sambutan skit seperti tahun-tahun lepas. cuma, kadang-kadang aku kreatifkan skitlah supaya sambutan tu taklah bosan amat. lalu, apakah hadiah yang nak dibeli?

hmmm, lama aku berfikir-fikir-daripada membeli barang kemas, baiklah aku beli sesuatu yang lain skit. jadi, petang semalam, aku pergilah ke digital mall, pj ss14. hajatnya, aku nak beli mini laptop utk orang rumahlah sebagai hadiah hari jadi. so, memang adalah mini laptop tu, comel je saiz dia. yang pentingnya, mini laptop tu ringan sesangatlah. harga dia pun agak murah jugalah berbanding laptop biasa. rm1499- selepas aku nego skit, then dapatlah rm1400-so, savelah rm99. aku pun happylah.
1)happy sebab dapat gembirakan hati orang rumah-itu biasa-itu tugas suami
2)happy sebab dpt less rm99

turun saja daripada digital mall tu, aku teruslah pergi ke parkir keta-cis! cis! cis! baru aku sedar, dalam nak cepat2 tadi, aku lupa nak bayar parking-kesimpulannya, kena saman rm100. nah, hambik kau!

tensennya! tapi aku dah tanyalah cikgu2 di sekolahku. menurut pengalaman dia orang, saman tu buleh dikurangkan sehingga rm30. ada satu kawan lagi tu dapat kurangkan sehingga jadi rm10. kira berita baiklah juga.

tapi itu bukan kali pertama aku kena saman dalam 2009 ni-haih, satu lagi aku kena saman di cameroon highland-pada hari raya cina. tak guna betul!

ada ka patut pada hari orang ramai nak menyambut hari raya tu, lelaki beruniform serba putih tu sebok pula menyaman keta yang di parking di bahu jalan-memanglah salah parking kat bahu jalan- tapi memang dah tak ada parking lagi-suma penuh-takkanlah aku yang datang dari shah alam ke cameroon highland akan turun ke bawah tanpa singgah di mana2 hanya semata-mata kerana tidak ada parking.

aku rasa, kalau lelaki beruniform serba putih tu bawa family dia bercuti di cameroon highland, dia akan buat perkara yang sama-aku rasa tak ada siapa pun yang akan turun semula ke bawah tanpa singgah ke mana2 tempat di cameroon highland semata2 kerana tidak ada parking di situ. untuk pemandu2 lain yang turut kena saman sepertiku pada tahun baru cina di ch tu, aku ucapkan takziah le. tabahkanlah hati.

kesimpulannya, prestasi diriku sebagai pemandu berhemat tercalar skitlah utk tahun 2009 ni-haih-saman-hambik kau!

ini gambar hiasan kali ni. anakku, buah hatiku, irfaan telah pun berusia 2 bulan pada ketika aku snap gambar tu.

bye.

Friday, January 23, 2009

comel-comot-pecat-kesempatan-membuak-buak-misteri

termasuk hari ni, kira dah banyak hari le aku mengajar di sekolah baru. dan, aku rasakan, aku pun dah tak baru sangat lagi di sekolah tu. budak2 ssc ada yang bertanya, "best ke cikgu di skol baru?" jawapannya, okey-okeylah. aku saja jelah nak ambik hati bekas pelajar. sebenarnya, persekitaran di skol baru ni best le jugak. komuniti student pun bagus. cikgu2 pun bagus.

aku dah kenal ramai pelajar. aku dah dapat hafal hampir semua pelajar yang aku ajar, terutamanya senior 1 fasih dan senior 2 bakti. senior 1 hormat dan senior 2 erat, ada beberapa nama yang tunggang terbalik aku panggilkan. sorrylah ye, aku mencuba sebaik mungkin ni.

selain daripada budak2 yang aku ajar, makin ramailah budak2 yang aku tak ajar pun kelas diaorang tapi aku mula kenal. contohnya, cik nadiah ramli, cik azrianna, cik shir lynn, cik wendy, cik atiqah AKA tiki (tengok je, tak pegang-ni moto kebanggaan dia), cik pui san (oh ye ke?), cik syahirah n ramai lagilah.

semuanya berjalan dgn baik. aku pun mula menikmati kesibukan mengajar di sekolah kluster ni. kerja demi kerja menjengah. aku tak heranlah lagi buat masa ni. ada juga budak2 kelas yang aku ajar tu, terutamanya senior 2 yang mula nak cuba amik KESEMPATAN atas sikapku yang kononnya mesra pelajar tu. amaran buat koranglah: korang memang tak kenal cikgu korang ni lagi. so, hati-hati beb!

oh , aku lupa nak cakap pasal senior 1 hormat. budak2 ni COMEL tau. diaorg punyalah bersemangat nak cantikkan kelas sampai sanggup mengecat dinding kelas. yang comelnya, diaorg ni kononnya bersatu hatilah mengecat dinding tapi sudahnya habis COMOT lantai kelas diaorg. lepas tu, timbul isu lain pulak. MISTERI kehilangan kura2 kelas diaorg. mujurlah aku tak dijadikan suspect walaupun pernah satu hari tu, aku mengugut nak campakkan kura2 diaorg tu ke dalam longkang tepi kelas-kasi bebas-sebab dia orang main kura2 tu masa aku tengah mengajar-dan sibuk pulak nak suruh aku pegang2 kura2 diaorg. aku rasa diaorg lupa ugutan aku tu sebab penat mengecat dan mencomotkan lantai dan kerusi kelas diaorg. oh, lagi satu, selamat tinggal buat puteri balkis, ajk bm senior 1 hormat yang akan pergi ke sekolah lain.

then senior 1 fasih pulak tak habis2 dgn motto 1 fasih rock! walaupun aku dah cakap, tak buleh guna moto tu. haih. then timbul isu lain pulak, iaitu isu nak PECAT ajk tuuut! yang kononnya amat tidak memuaskan hati mereka semua. isu ni sudah menjadi amat besar kerana they all dah bersatu hati untuk memecat ajk tu. tunggu keputusan aku je ni. hmm, aku terpaksa jadi jaksa pendamai pulak lepas tahun baru cina ni. lagipun, semangat dia org untuk memecat ajk tuuut! ni bukan main MEMBUAK-BUAK lagi. terutamanya semangat cik farah AKA ketua tingkatan.

ni kura2 yang femes kat sri aman. setiap hari, budak2 tu sibuk tengokkan kura2 ni. tapi kura2 yang senior 1 hormat lebih kecil dan lebih comel tetapi dah hilang.

adios!

Monday, January 5, 2009

aku dan tingkatan 1 fasih

hari ni hari pertama sekolah. aku gi skol baru. rasa berdebar skit. tapi, aku kan berpengalaman. cheiwah! nama kelas aku tingkatan 1 fasih. ada dalam 30 orang puteri kat dalam tu. suma pun comel2. macam si seri cahaya jugak, aku dah buleh membaca bahawa betapa macamlah2 perangai dan kerenah mereka itu nanti.

anyway, at the same time, aku teringatlah jugak kelas sr 1 love last year. ziany n the gang. choe hong n the guy. mandy n shu kee. ramai lagi le. but then, aku tau their class teacher is my best friend pun. cikgu siti nur. the designer aka bm teacher. so, taklah sedih sangat. mesti budak2 tu mengada-ngada dengan siti nur pulak. aku kenal sesangat budak2 tu.

kat sri aman ni, aku jumpa jugak ex student from cahaya-nadia n aliah yang datang ke kelas aku selepas 2pm hari ni. nadhrah pun bernasib baik. dia di tingkatan 1 hormat n akan belajar bm dengan aku jugak. aku belum jumpa dengan cheyenne lagi. hmm, macam manalah rupanya makcik tu yang sekarang ni dah form 4 di sri aman.

okey, ni gambar hiasan kali ni. apa kena mengenanya dgn en3 ni? yg pegang benda tu pun tuan puteri jugak.

okeh, aku nak tido sebab nak tido. byes!

Thursday, January 1, 2009

hujan air mata

gambar ini aku amik daripada http://satuumat.blogspot.com

hari ini ialah hari pertama tahun 2009. namun, baru sekejap tadi aku menonton buletin utama. beritanya amat menyedihkan. hospital di palestin dibedil oleh tentera yahudi yang laknat itu. paparan video menunjukkan beberapa orang bayi atau kanak2 terlalu kecil yang menangis2. rasa takut yang bagaimana hendak kita tafsirkan buat anak2 yang terlalu muda usianya ini. celik2 sahaja ke dunia, dentuman bom menyambutnya. kematian demi kematian menyapanya. amerika terus berpura-pura. uuhhh, celaka dan amat sial layaknya.

siang tadi, aku dengar lagu XPDC ini yang dipetik daripada album V6. lagu ini mengutarakan pemikiran penulisnya yang melambakkan simpati terhadap penduduk palestin. namun, lagu2 seperti ini tidak mendapat tempat di hati dj radio dan pemilik siaran tv. yang mendapat tempat ialah lagu2 indon dan drama indon yang semakin menutup peluang karyawan tempatan. alangkah baiknya kalau ditayangkan klip video keadaan penduduk palestin dan lagu amat bermakna ini dijadikan muzik latarnya. sekurang2nya dengan adanya klip video ini akan menyedarkan ramai lagi umat Islam yang leka agar sekurang2nya bersimpati kepada nasib saudara seagama di sana dan berpakat2 pula menadah tangan mendoakan kesejahteraan mereka kepada ALLAH. ahhh, banyaklah yang boleh dilakukan. tetapi,tidak dilakukan. aduhai!


Hujan Airmata

Bayangkanlah Lamanmu Berhias Api
Sampai Bila Rumahmu Mampu Berdiri
Sebelum Dipunahkan

Bayangkanlah Lahirmu Ke Alam Ini
Sampai Akhir Hayat Mu Masih Merintih
Menagih Kedamaian

Dalam Hati Terlintas Satu Soalan
Mana Hilang Keinsanan?

Bayangkanlah Lautmu Dilanda Taufan
Sampai Bila Layarmu Mampu Bertahan
Sebelum Kau Tenggelam

Bayangkanlah Jagamu Tak Pernah Aman
Sampai Malam Lenamu Rasa Terancam
Kau Dalam Ketakutan

Dalam Hati Terlintas Satu Soalan
Mana Hilang Keinsanan?

Korus :

Mana Hilang Kasih Sayang
Diberikan Tuhan Pada Kita Insan
Hingga Kita Biar Saja Hujan Airmata
Yang Melimpah

terima kasih Izo xpdc dan Allahyarham Loloq utk lagu ini.