Tuesday, March 31, 2009

selamat datang kalian!

adalah beberapa orang pelajar di sri aman yang berselisih denganku dan menjelaskan bahawa mereka terjumpa blog aku (ayat skema!)-oh, memang itulah aku, salah seorang manusia di dunia ini yang ada blog. jadi, selamat datanglah kalian. buatlah seperti rumah sendiri.bacalah entri yang ada-bayaran tidak dikenakan.

byes!

Friday, March 27, 2009

demi kasih dan sayang. kononlah!

uih, dah lama jugalah blog ni tak ditulis dengan benda2 baru. sebenarnya, aku tak buleh nak gunakan streamyx, ada problem dengan line. so, aku bayar tapi tak buleh guna. yeay :(

kemudian, adalah beberapa manusia tu berkata, "cikgu dah lama tak updatekan blog cikgu. kami dah banyak kali pergi blog cikgu nak baca tapi entri dia sama saja," (jenis ayat: ayat membodek yang bersahaja)

kemudian, adalah beberapa manusia tu bertanya kepadaku, " cikgu, cikgu tak pernah pun tulis apa-apa tentang kelas kami dalam blog cikgu. kami sedih tau," katanya. (ada penambahan sikit-sikitlah untuk menyedapkan dialog kat atas tu.

aku pun dok pikir2lah apa benda yang buleh aku tuliskan tentang manusia2 tu. akhirnya, datanglah satu idea. bukankah aku ini penulis? a'ha! maka terhasillah sebuah kisah yang amat cacamarba sifatnya. bacalah dengan hati yang tenang dan fikiran yang waras. harapanku, dengan adanya entri ni, akan berbahagialah mereka semua.

Perhatian:
Cerpendek ini ditulis dengan tujuan untuk menambahkan pembacaan, sumber hiburan dan mengimbas kenangan yang pernah berlaku di dalam Tingkatan 2 Erat pada tahun 2009, kelas kendalian encik Alias Derais. Cerpendek ini ditulis bukan dengan niat hendak mengaibkan atau memalukan sesiapa. Nama-nama yang disebutkan di dalam cerpen ini ialah nama sebenar. Namun, jalan cerita bagi cerita ini dan karektor yang dinyatakan pada nama watak-watak ini hanyalah rekaan sahaja dan tidak ada kaitan dengan nama-nama watak ini. Jika ada, itu hanyalah persamaan yang berlaku secara kebetulan sahaja. Terima kasih.


tajuk: Tingkatan Dua Erat dan sebuah alkisah!
penulisnya: alias derais


Hari ini samalah seperti semalam. Cuaca panas. Bahangnya bukan main lagi terasa. Buat sekian kalinya, loceng pun berderinglah semahu-mahunya menunjukkan cikgu BM mesti cepat-cepat masuk ke kelas 2E. budak-budak itu sudah tidak bersabar-sabar lagi hendak menimba ilmu. kononlah!

Langkah cikgu itu dipanjangkan. Dia tidak boleh lambat. Masa itu emas. Anak tangga demi anak tangga dipanjatnya. Akhirnya, pandangan mata cikgu itu terpampan pada sekujur tubuh manusia bernama li yin yang berdiri di depan muka pintu. Cikgu itu tahu, li yin bukanlah hendak menyambut kedatangannya. Bukan. Bukan. Li yin mengabdikan dirinya untuk meniup siren kecemasan yang sebenarnya tidaklah cemas sangat untuk menandakan bahawa cikgu telah tiba.

“cikgu BM dah sampai,” jeritnya yang tidaklah kuat sangat. Namun, li yin kemudiannya hampa kerana tidak ada sesiapapun yang pedulikan siren kecemasannya itu. Aduss!

Cikgu itu melangkah masuk ke dalam kelas 2E dengan penuh keyakinan diri. Kemudian, seperti biasalah, alina yang bukan ketua kelas akan mengetuai ucapan selamat sejahtera itu dengan suaranya yang amat bersemangat (setahap membuak-buak layaknya). Semua orang pun mengikuti sajalah perbuatannya itu. Tidak ada siapapun yang sedar akan kekecewaan aisyah, ketua kelas sebenar yang dirampas kuasa oleh alina dalam soal mengucapkan ucapan selamat sejahtera itu.

Alina tersenyum puas. Dan dia terus tersenyum. Dan tersenyum.
Kemudian, pelajar-pelajar yang dengan sopannya mengucapkan selamat sejahtera tadi duduklah atas kebenaran cikgu itu. Namun, langit tak selalunya cerahlah. Cikgu tadi yang merasakan dirinya amat dialu-alukan kedatangannya itu berasa kecewalah kerana atas sebab apa atau rasukan siapa, pelajar-pelajar itu duduk dan berbual-bual seperti biasa, seperti ketika cikgu tadi itu belum tiba tadi. Juga seperti tidak ada cikgu di dalam kelas itu.

Kelas pun bermulalah. Cikgu itu mula bercerita. Cerita pasal kemalangan yang memalangkan. Cerita itu disampaikan sepenuh perasaan. Pelajar-pelajar perempuan itu mendengarlah apa-apa yang cikgu itu katakan, kecuali seseorang yang ibu bapanya menamakannya alysa kerana dia sibuk membetulkan tudungnya.

Begitu juga dengan marzila. Dia tidak mendengarlah cerita cikgu itu. Dia sibuk. Dia sedang berfikir sedalam-dalamnya di alam tidurnya itu. Cikgu itu perasanlah tindakan alysa itu. Namun, alysa pula atas sebab-sebab kebiasaan yang tidak disedarinya, telah secara berterusan pula membetulkan tudungnya itu. Begitu jugalah dengan marzila yang terus menerus pula berfikir sedalam-dalamnya.

Kelas berlangsung lagilah. Cerita belum habis lagi. Kemudian, cikgu itu terpandangkan sesuatu. Oh, itu ialah manusia bernama amalina. Dia manusia biasa yang hidup bersandar pada dinding di sebelahnya. Dan dinding itu pula amat setia berkhidmat kepada amalina. Aduhai amalina!

Detik-detik yang bermakna terus berlalu. Cikgu itu berceritalah. Memang itulah kebiasaannya. Budak-budak pun mendengarlah. Memang itulah respons semulajadi mereka. Keadaan itu membuatkan cikgu itu bercerita dengan lebih rancak lagilah. Respons demi respons diterimanya, kecuali daripada dua orang budak perempuan yang emak dan ayah mereka namakan esmeralda dan nadiah. Masing-masing sibuk. Esmeralda akan terus tulis dan menulis. Ada buku kecil di mejanya.

Buku itu berkata, “Hei, cikgu sedang membulat-bulatkan mata ke arah awak tu,” tetapi malangnya esmeralda tidak pernah cuba memahami isi hati buku kecilnya itu. Dia tetap menulis. Buku itu rasa terseksa pula kerana rasa bersalah atas kesalahan yang tidak dirasakan oleh esmeralda.

Nadiah tidak kurang juga uniknya. Dia ialah penyokong tanpa gaji yang amat setia kepada esmeralda. Apa-apa yang esmeralda katakan, dia akan menyetujuinya-dan dia berdoa semoga apa-apa yang dia katakan, esmeralda akan menyiakan juga kerana itulah panji-panji kesetiaan yang mereka berdua pahatkan di dalam hati mereka masing-masing.

Hari yang panjang tidak habis lagi. Bahang panas matahari tidak menggugat semangat budak-budak 2E untuk belajar dengan penuh ketekunan. Mereka tekun mendengar cikgu itu bercerita sehinggalah marjana telah tersedar apa yang bakal berlaku.

Dia memandang cikgu itu dengan pandangan yang penuh dengan prasangka. Nampaknya cerita menarik oleh cikgu itu pada hari ini akan berakhir dengan seksaan yang amat pedih buat mereka semua. ‘Bersedialah wahai kawan-kawanku,’ laung marjana di dalam hatinya. Namun, tidak ada sesiapa yang sudi mendengarnya.

Marjana yang kuat berprasangka itu kemudiannya meniupkan prasangka itu ke dalam hati marzila yang telah habis berfikir dan syafiza yang duduk di kirinya. Kedua-dua orang kanan dan kirinya itu kini bersatu hati dengannya untuk menyiakan prasangkanya itu. Kepala mereka bertiga terangguk-anguk perlahan dihiasi prasangka yang tidak bersempadan. ‘Sesuatu bakal berlaku,’ bisik hati kecil mereka. ‘Oh Tuhan!’

Tidak lama kemudian, kebimbangan marjana dan orang kanan dan kirinya menjadi kebimbangan yang bersifat global di kelas itu. Mereka nampaknya telah terperangkap dalam cerita cikgu itu. Sudahnya, mereka terpaksa menulis karangan yang pendek sahaja tetapi didakwa amat membebankan oleh budak-budak yang amat rajin itu.

Anusha, jannani dan thilaga mengamalkan sikap yang lebih kurang sama seperti Lamsah. Mereka menghasut beberapa orang pelajar-pelajar lain membuat rancangan untuk menepis latihan karangan itu, tetapi komplot mereka yang tidak bersatu hati itu berakhir dengan kegagalan.

Sudahnya, nadhirah dengan motivasinya yang percuma itu telah berjaya mempengaruhi najwa untuk mendendangkan syair bertajuk ‘kehampaan yang abadi’ ditujukan khas buat cikgu itu. Namun usaha itu gagal. Dan gagal. Kegagalan itu menyebabkan amalina terus bersandar ke dinding kerana perasaan kecewa yang amat sangat.

Pun begitu, kekecewaan itu tidak langsung dirasai oleh sailajha, melissa, sarah dan anindita kerana mereka tidak pedulipun soal itu. Petang nanti ada latihan bola sepak. Itulah fokus mereka sekarang. Sailajha tidak sabar lagi hendak menendang bola kerana minggu lepas tendangannya semuanya gagal. Atas rasa geram itulah yang mendorongnya untuk mencuba lagi. Dan lagi. Dan lagi.

Lagipun, baru sekejap tadi mereka berbual-bual tentang pemain bola sepak kegemaran mereka. Melissa dengan yakinnya menjelaskan bahawa pemain bola sepak kegemarannya ialah Sarukan.

“Sarukan? Siapa tu?” soal sarah dan anindita, serentak.

“Dia pemain bola sepak yang hebat,” balas melissa dengan yakin dan bangga pula sambil kepalanya terangguk-angguk sikitlah.

Tiga orang rakan baiknya itu mengangguk-anggukkan kepala jugalah kerana tidak sanggup menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat melissa mengangguk-anggukkan kepalanya. Mereka bimbang melissa akan berkecil hati jika ada antara mereka yang menggeleng-gelengkan kepala.

Pun begitu, sailajha tetap ragu-ragu. Siapa sarukan? Persoalan itu bermain di fikirannya. Sarukan bermain bola sepak untuk pasukan mana? Oh, banyaklah persoalan yang timbul. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah dia sanggup menulis nota kecil yang dilipat-lipatnya dan dikirim kepada shivanthidevi yang leka bersosek-sosek dengan raisa ketika cikgu itu meninjau budak-budak yang sedang menulis karangan itu.

Sailajha kecewa sudahnya. Soalannya berkenaan Sarukan tidak mendapat perhatian daripada shivanthidevi yang khusyuk berdoa pula dengan harapan raisa akan membuat biskut lagi pada malam ini untuk dibawa ke sekolah pada esok hari.

Kemudian, keharmonian kelas itu tergugat akhirnya. Ini gara-gara cheska. Cheska itulah puncanya. Dia diarahkan berdiri oleh cikgu itu.

“Mana buku kamu?” soal cikgu itu dengan kegarangan yang terkawal akibat kewarasan fikiran yang tenang.

“Saya tak ada buku, cikgu. Saya budak baru,” jawab cheska.

Cikgu itu membeliakkan matanya ke arah cheska. Anisa yang melihatkan keadaan itu cepat-cepat berdoa agar mata cikgu itu tidaklah bertukar warnanya menjadi hijau. Dia takut benar. Dia pernah menonton filem itu dahulu. Filem itu bertajuk, ah, dia terlupa pula tajuknya. Tetapi berdasarkan filem itu, mata lelaki itu bertukar warna hijau setiap kali dia marah atau memarahi atau disakiti hatinya. Kemudiannya, badan lelaki itu membesar sehingga pecah-pecah bajunya, kecuali seluarnya.

“Awak rasa awak masih baru?” soal cikgu itu. “Ini sudah beberapa bulan, tahu,” kata cikgu itu lagi. Anisa terus berdoa sedalam-dalamnya.

“Perasaan saya mengatakannya,” jawab cheska, tanpa rasa bersalah.

Tindakan cheska itu menyebabkan cikgu itu bertambah-tambah marah. Semua orang berasa takut. Nur Ain sudah lama menahan nafasnya. Harapannya, cikgu itu tidak menyedari kewujudannya di sebelah amalina. Raisa tidak lagi bersosek-sosek dengan shivanthidevi. Buku kecil esmeralda telah selamat mendarat di dalam begnya. Begitu juga dengan novel cinta yang bertajuk ‘Cintaku Terbelah Dua’ yang thilaga pegang tadi telah selamat dimasukkan ke dalam begnya.

Najwa mula mengarang syair baru yang difikirkannya sesuai. Praveeta pula berpura-pura pengsan di tepi alina. Ketika berpura-pura pengsan itu dia menyesal pula kerana dia menyedari bahawa orang yang pengsan tidak boleh bergerak-gerak. Itu pasti meletihkannya.

Semuanya takut.

Melissa tidak lagi memuji-muji Sarukan. Sailajha telah terlupa sekejap tentang Sarukan. Xi en duduk diam-diam di tempatnya dan memulakan lakonan sebagai perempuan comel yang paling baik di dunia. Alina juga duduk diam-diam seperti xi en kerana dia sebenarnya sedang menunggu loceng berdering untuk memimpin ucapan terima kasih pula.

Zian dan abirami sedang berpeluk-pelukan kerana perasaan takut yang membuak-buak bercampur perasaan mengada-ngada. Mereka kemudiannya duduk diam-diamlah pula kerana menyedari bahawa tindakan mereka berdua itu amat keterlaluan untuk disaksikan oleh cikgu itu.

Syafeeqah terus sibuk melihat lelaki yang berjoging di luar sana. Syafeeqah kemudiannya berang kerana seekor tupai yang nakal kemudiannya menakut-nakutkan lelaki-lelaki separuh umur yang berjoging di luar sana.

Semua orang masih takut dan ketakutan itu semakin membuak-buak ketika cikgu itu kembali ke hadapan kelas.

“Ingat semua orang. Jangan malas kalau ingin berjaya. Jangan asyik memberi alasan,” kata cikgu itu, yang tiba-tiba pula memulakan ceramah tanpa kata alu-aluan.

Pelajar-pelajar itu berasa lega. Tidak ada sesiapa yang tercedera. Untuk seminit dua mereka tidak kisahlah untuk mendengar ceramah itu walaupun dalam bentuk paksaan yang berterusan. Mereka tidak kisahlah.

“Usaha ditambah pengorbanan akan menjanjikan kejayaan, faham?” soal cikgu itu di celah-celah ceramahnya.

Semua orang menganggukkan kepalalah. Itulah kepakaran semulajadi mereka. Namun, anggukan kepala suhaila, AJK BM itu sekejap sahaja. Dia kehairanan pula.
‘Macam pernah aku dengar sahaja ayat tadi, tapi dimana ya?’ soalnya di dalam hati.

Masa terus bergerak pergi. Ceramah cikgu itu telahpun habis. Pelajar-pelajar itu bersatu hatilah untuk berasa lega, kecuali suhaila. Dia masih tertanya-tanya soal ayat tadi. ‘Macam pernah dengar, tapi di mana?’ hati kecilnya bertanya lagi.

Kelas sudah hampir habis. Aisyah mula berasa bimbang. Tidak lama lagi loceng sekolah dengan setianya pula akan berdering-deringlah semahunya. Akan berpeluangkah dia? Akan berpeluangkah dia? Persoalan itu berlegar-legar di fikirannya. Dia bimbang peluangnya untuk mengucapkan terima kasih kepada cikgu itu akan dirampas dengan rakusnya sekali lagi oleh alina.

Kemudian, loceng pun berderinglah semahu-mahunya. Lalu, budak-budak itu bangunlah untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semua wajah tersenyum-senyum dan tersengih-sengih. Segala lakonan, kepengsanan, keskemaan dan doa-doa serta sosek-sosek berakhirlah.

Aisyahlah yang paling lega kerana alina yang insaf secara tiba-tiba itu telah memberi laluan kepadanya untuk melakukan upacara rutin itu. Pelajar-pelajar kelas itu mengucapkan terima kasih dengan dipimpin oleh aisyah yang kembang-kempis hidungnya itu akibat kebanggaan yang membuak-buak.

Pun begitu, bukanlah semua orang berasa lega. Malang sekali buat sailajha dan suhaila. Mereka masing-masing tertanya-tanya. ‘Tapi dimana ya?’ soal hati kecil suhaila. Sailajha juga begitu. Fikirannya amat terganggu.

Siapakah Sarukan?

-:-tamat-:-