Thursday, October 9, 2014

entri baru dah muncul

akhirnya, di penghujung sesi persekolahan 2014 ini, aku terasa hati untuk menulis sesuatu setelah sekian lama mengusangkan blog ini.

assalamualaikum puan2,

malam tadi. waktu aku lepak-lepak depan laptop, anak-anak bermain bersama-samalah. mula-mula okey kemudian key-o. kemudian, muncul pengadu pertama.

"pa, adik patahkan tulang abang," kata irfaan.

amboi, siap patah-patah tangan lagi ye korang bergaduh. aku pun belek-belek dan usap-usaplah tangan yang dilaporkan patah tulangnya itu. belum pun sempat selesai mengusap lengan abang, muncul pengadu kedua.

"pa, abang pukul adik," kata iffah. "Tengok ni, sakitlah kaki adik," katanya lagi.

amboi, sorang patah tangan, sorang sakit kaki, bukan main lagilah korang bergaduh ye. walaupun begitu, aku tak ambil hal sangatlah. anak-anak bergaduh. carik-carik bulu ayam, bercantum juga akhirnya nanti.

syukur alhamdulillah, anak-anak makin membesar. beberapa bulan sahaja lagi, aku perlu melawat gudang pakaian untuk membeli baju sekolah irfaan. walaupun aku agak ketinggalan dengan kawan-kawan yang lain, rasa syukurku kerana zuriat ini tidaklah berakhir. syukur alhamdulillah.

puan2, sila melihat gambar yang aku ambil gunakan d7000. kali ini alat mainan irfaan jadi mangsa.




jadi, melalui entri ini aku sedang mengingatkan diriku sendiri dan puan2 agar sentiasa bersyukur. bersyukur dan bersyukur.

adios!

Tuesday, March 25, 2014

gembirakan hati anak

salam.

salam takziah buat keluarga penumbang dan kru kabin MH 370. semoga bersemadi dengan tenang di sisiNya. semalam pak menteri dah mengumumkan berita tragedi yang menimpa semua penumpang dan kru kabin pesawat tersebut.

aku kini berada di kampung. jauh di utara semenanjung malaysia. satu hari ni, sementara menunggu syafikah adam malik membantu aku menyelesaikan satu masalah dengan menggunakan kepintaran akalnya, aku buat benda ni. saje je seronok2 tapi tak sangkalah pulak irfaan amat seronok menontonnya.

 


dalam hidup ini, kadang-kadang benda kecil yang kita buat, mendatangkan kegembiraan besar buat orang lain. kadang-kadang benda yang kita rasa amat besar kita buat, tapi orang yang menerima buat nak tak nak aje. pasrah ajelah. semua itu ketentuan ilahi dan kita kenalah banyak bersabar dengan ujian dan dugaanNya.

adios!

Sunday, February 9, 2014

bakat pelajar smk (p) sri aman

salam tuan-tuan,

ketika aku sedang sibuk merakam gambar-gambar di serambi ilmu sebab puan s meminta aku menyediakan folder tentang penambahbaikan dan naiktaraf yang berlaku terhadap insfrastruktur sekolah, aku terpandang seorang pelajar tingkatan 4 ini sedang sibuk melukis pada beg.

kemudian kami berbuallah dan dari situ aku mendapati dia telah menerima tempahan sebanyak 15 buah beg untuk dilukis. semua tempahan datang dari sekolah inilah.

"Yang ini, saya charge rm 45," kata pelajar ini sambil menunjukkan kepada saya beg yang berilustrasikan gambar seorang wanita bercermin mata.

secara jujurnya, aku amat kagum dengan kebolehan pelajar ini. dan insya allah, aku akan turut membuat tempahan kepadanya. aku perasan salmiza selalu membawa baju-baju iffah atau irfaan ke rumah pengasuh dengan beg yang biasanya kami dapat secara percuma melalui program2 sekolah.


aku bercadang hendak meminta pelajar ini melukis gambar iffah dan irfaan pada beg kain itu nanti. kemudian, beg itu akan berfungsi untuk menjadi beg untuk membawa pakaian anak-anak ke rumah pengasuh. sekurang-kurangnya melalui tempahan yang amat kecil itu nanti boleh menjadi sokongan moral kepada pelajar ini untuk terus berkarya dan menuai hasil daripada karyanya sendiri.

adios!


Tuesday, February 4, 2014

kuah rojak tradisi papa

salam tuan-tuan,

aku memang suka makan rojak buah. sejak kecil-kecil lagi aku sudah menetapkan bahawa salah satu makanan kegemaran aku ialah rojak buah.

namun, tahun berganti tahun, zaman berganti zaman, kuah rojak tradisi bagaikan pupus di telan waktu. setiap kali aku membeli rojak buah di tepi jalan, hasilnya amatlah mengecewakan. kuah rojak yang dicampur buah-buahan tropika ialah gabungan gula kasar + kicap masin manis + cili (untuk rasa pedas) dan itu saja rasanya.

aku cuba pula membeli kuah rojak yang ada di  pasaran, termasuk yang berjenama mak A, mak B, mak C, atau apa-apa mak lagilah tetapi tetap tidak mampu memuaskan hati aku yang kepingin merasakan kuah rojak tradisi yang aku pernah makan suatu ketika dahulu.

sudahnya, aku mencari-cari resepi di internet dan aku berhasil ketemu kuah rojak yang agak kena dengan rasa yang aku inginkan. resepinya mudah saja, iaitu sos cili+belacan bakar+kicap manis masin+cili giling/boh+bijan+tepung ubi (untuk memekatkan kuah)+gula merah+gula kasar (jika perlu) + semangat yang berkobar-kobar serta membuak-buak!

campurkan semuanya dan masak. akhir sekali, masukkan bijan yang siap digoreng tanpa minyak pada awal2 tadi. dah siaaaaaapppppp. sedap pulak tu.


selesai satu masalah.

 irfaan makan rojak buah aku yang ringkas (terdiri daripada sengkuang/nenas/epal (aku tambah suka2)/timun/jambu batu) dan beliau nak tambah lagi. kata beliau;

"Sedaplah rojak yang papa buat ni."

memanglah.






terima kasih pengirim resepi kuah rojak di internet. usaha anda amat bermanfaat.


selamat tinggal tuan-tuan.





karipap popia papa

salam tuan-tuan,

suatu malam yang hening, tiba-tiba mem bertanyakan soalan yang mudah tetapi kadang-kala menyebabkan jawapannya amat sukar untuk dijawab.

soalannya:

"Awak nak makan apa malam ni?"

kadang-kala, mudah amatlah menjawab soalan begini. namun, ada kalanya, soalan ini bagaikan amat sukar pula untuk dijawab. aku terasa ingin makan sesuatu tetapi tidaklah pula terfikir apakah sesuatu itu. makan nasi susah biasa. makan mi goreng atau apa-apa yang sama angkatan dengannya sudah biasa. akhirnya, aku menjawab soalan itu dengan persoalan pula.

"Entahlah," kataku. "Rasa macam nak makan sesuatu tapi tak tau apa dia," jawabku.

"La, nak makan apa pun tak tau?" kata mem.

kemudian, mem pun cubalah membantu aku dengan mengemukakan beberapa jenis masakan yang biasanya aku suka makan. spageti? bukan. bihun goreng? bukan. pizza? bukan. nasi goreng? bukan.

"Habis tu nak makan apa?" soal mem.

aku hanya mengangkat bahu. kemudian, aku menjawab dengan ringkas.

Makan roti aje lah," kataku.

kemudian, aku keluarlah dari rumah untuk membeli roti. roti yang ada di rumah lebih sesuai utk anak-anak.

ketika sedang memandu cik viva itulah aku teringat nak makan karipap. lalu aku singgah ke wellmart dan beli kentang, sedikit isi ayam, daun sup, dan sebungkus tempah kari dan kulit popia (sebab aku malas amat nak menguli tepung untuk buat kulit karipap).

sesampai saja di rumah, aku mula kerjakan kentang dan kerja potong2 kentang mengikut pptongan dadu, dan hancurkan isi ayam. kemudian, sewaktu mem masih di atas melayan anak2, aku mula menumis bawang dan kemudiannya menyediakan inti karipap. ketika mem tersedar sesuatu berlaku di dapur, beliau turun dan;

"Eh, tadi ada orang cakap nak makan roti je?" soal beliau.

"Alah, roti tak best," jawabku.

"Papa masak apa tu?" soal iffah.

"Karipap," balas mem. "jom adik, kita naik ke atas. jangan kacau papa," kata mem lagi.

inti karipap siap dan ketika aku biarkan intinya sejuk sedikit, aku mula keluarkan kulit popia. tidak lama kemudian, kerja menggulung kulit popia dengan inti karipap pun bermula.empat biji kentang bersaiz sederhana dengan sedikit isi ayam mampu membuatkan aku menggulung sekitar 24 biji popia. berbaloi kan?

inilah rupanya karipap popia aku.

kami makan popia karipap itu dan sebahagiannya aku simpan untuk dibawa ke sekolah. malangnya, esok pagi, aku terlupa nak membawanya ke sekolah dan karipap popia itu semuanya selamat mendarat di meja mem di sekolah. asalkan ada orang makan, kira berjayalah tu kan?

nota untuk puteri isyatur radiah : oh aku teringat bentuk masakan yang lebih kurang sama seperti ini yang disediakan oleh puteri isyatur radiah. tapi inti dia lain bebenar. dan masakan itu amat sedap. bilalah dia nak masak lagi kan. sama2lah kita tunggu. nak kata sampai berjanggut, aku memang dah berjanggut. 

 selamat tinggal tuan-tuan.



Tuesday, January 14, 2014

zoo taiping dan isinya.

cuti sekolah yang lalu, aku kunjungi zoo taiping. saja je, merakam gambar. nilah gambar-gambar yang dirakam hari tu.


 teringat kata2 jurupandu kereta zoo taiping, "orang dulu-dulu mencipta peribahasa pekak badak, tetapi setiap kali saya memanggilnya, dia mengangkat telinganya, pekak ke dia?"
 landak. aku pernah makan daging dia. dua kali. kata orang, daging landak ini pengubat bagi penyakit lelah. hempedu dia pengubat yang terbaik tetapi sukar untuk didapati.
 ketika aku merakam gambar ini, harimau ini berenang-renang. ada masanya, dia berenang di tebing berhampiran dengan tempatku berdiri. niat baiknya itu amat terserlah. bagi jurugambar seperti aku (yang tak punya lens zoom segala), pergilah awal pagi. waktu itu harimau galak muncul dan berenang-renang tidak jauh dari kita. bolehlah snap. kalau pergi tengah hari, dia tidur je. jauh pulak tu. hari tu aku sampai ke zoo sekitar jam 8.30 pagi.
 abang ziraf dan girlfriend beliau. merajuk le tu gf dia. tak nak pandang kamera. buntut pun buntutlah.
 penjaga kandang badak. tekun dan sabar.
 susah jugak nak rakam rakam gambar macam ni. selalu blur je gambar dia. yang ini kira boleh tahanlah.
 aduhai. di zoo pun ada aktiviti begini.
 'ini semua, aku yang punya,' kata burung ini di dalam hati kecil beliau. banyaknya ikan kembung.
 badak laei.
abang zebra. kali ini dia datang dekat dengan kamera. selalunya kat tengah-tengah kandang melayan pasangan beliau.

ada banyak lagi gambar. tapi malaslah nak uploadkan semuanya. sebab broadband ni spesis yang amat perlahan proses loading dia. lalu aku pun kecewa.

adios!

 

ya? banyaklah kau punya ya?

assalamualaikum!

selawat ke atas junjungan mulai kita, Rasullullah s.a.w. hari ini kita menyambut maulidurrasul.

pernah suatu hari ketika aku mengajar di kelas, seperti biasa, dalam pdp  itu aku selitkanlah pengajaran di sana-sini bila berkaitan dengan topik pengajaran. dan entah mengapa, hari itu, aku bercakap soal kita yang tidak sempurna di sana-sini, kecuali junjungan mulia k,ita, Rasullullah s.a.w. dalam pada menasihati itu, aku katakan bahawa kita ini ada kelemahan dan kelebihan di sana-sini. lebih atau kurangnya kita ini patutlah dijadikan pengajaran dan tauladan. janganlah sesekali memandang rendah kepada orang lain, hanya kerana kita ada kelebihan tertentu.

dan jika kita ada kelemahan, cepat-cepat sedarinya dan baiki.

alkisah, suatu petang. aku singgah di kedai jual ais blended. kedai ini berkembar dengan kedai dobi. kedai ini terletak di bloak perniagaan bersebelahan dengan sk subang bestari, shah alam.  ketika aku sampai, dua orang pekerja ini bukan main rancak lagi berbual dengan seorang pelanggan wanita sehingga kehadiran aku di tepi kaunter ini dipandang sepi.

tak apalah.

sabar. tahan sabar. sabar lagi. dah tak sabar. sabar balik. buat muka takde perasaan.

pelanggan itu berlalu. salah seorang pekerja ini memandangku. tiada senyuman. hairannya. kehadiran aku mengganggukah? aku minta sedekahkah?

kemudian, terpacul satu perkataan di mulutnya.

"ya?" katanya.
ya? itu caranya pelanggan dilayan? begitu?  alangkah bodohnya. tidakkah ada ayat yang lebih baik. sekurang-kurangnya awak hafallah cara bertanya soalan yang amat standard kepada pelanggan. encik nak order apa? begitulah sepatutnya. berilah sedikit senyuman. lembutlah hati pelanggan yang tadinya menunggu di tepi kaunter tanpa sebarang sapaan.

sejujurnya, kalau bukan hendak memenuhi janji mem kepada irfaan untuk belikan dia ais blended pada hari itu,  dan kalaulah ada kedai ais blended lain di kawasan berdekatan, tak ingin aku berkunjung ke situ lagi.

harap-harap tahun 2014 ini, salah satu azam pekerja itu ialah membaiki dirinya yang sesungguhnya patut dibaiki lama dahulu. harapan ini juga aku tancapkan kepada diriku sendiri dan kalian juga.
gambar hiasan puan-puan. pemandangan di kampung puan salmiza cuti sekolah yang lalu.

adios!