Saturday, August 23, 2008

Aku dan zaman kanak-kanakku ketika menyambut Ramadhan

Terima kasihlah buat dlyn, syima, ainin, danny (teman blog baru-aku akan linkkan nanti) dan mersik yang menaip komen mereka dalam entry aku sebelum aku balik kampung hari tu. Aku dah padam pun entry tu sebab aku pun tak sengaja nak gunakan perkataan yang boleh memanaskan hati sesiapa, walaupun orang tu aku tak suka. Hari tu hati tengah terbakar beb! sekarang, aku nak buka lembaran baru. Harap-harap aku tak diganggu lagi sebab aku pun tak ganggu sesiapa.

Aku baru balik dari kampung nun jauh di utara. Masa kat kampung, dalam pada sibuk-sibuk tu sempatlah aku berasa syahdu n kenang-kenangkan kembali zaman kanak-kanak dulu, terutamanya pada bulan Ramadhan. Kan aku ni penulis, walaupun penulis kecil-kecilan, aku dapatlah mengungkapkan kembali memori itu dalam bentuk tulisan. Bacalah, kalau rajin atau takde apa-apa yang nak dibuat, atau kalau nak tau pengisian aku masa bulan puasa dulu-dulu di kampung. Memori yang aku catatkan ni aku rasa masa aku darjah 3 atau empat. Sorrylah, entry kali ni takdak gambaq.

Part I (1 Ramadhan hingga 15 Ramadhan)

Kurang lebih seminggu daripada sekarang inilah, kita akan menyambutnya. Dulu pun begitu. Dulu-dulu pun begitu. Kita menyambutnya saban tahun. Bulan itulah. Bulan yang istimewa itu. Bulan Ramadhan.

Semasa aku menulis satu entri berkenaan budak-budak aku yang bakal menduduki UPSR, yang kemudiannya diganggu oleh peracau yang meracau-racau tak tentu pasal itu, Pezul ada memberi respons kepadaku dengan berkata, “budak-budak sekarang ni tak sabar-sabar nak membesar,” katanya.

Aku membalasnya, “memanglah begitu. Masa kecil-kecil tak sabar nak membesar, bila dah besar, teringat pula zaman kanak-kanak,” kataku.

Aku rasa, sesiapapun, walau dimanapun, atau apa bangsa dan negara pun, tak lekang daripada mengingati semula zaman kanak-kanak mereka. Begitu juga aku. Kadang-kadang, pada masa-masa tertentu, dan dengan sebab-sebab tertentu, aku teringat kembali zaman lampau. Zaman aku bergelar kanak-kanak. Zaman aku membesar dan melalui liku-liku kehidupan sebagai anak kampung.

Banyak benarlah yang hendak diingatkan jika dimenung-menungkan. Namun, aku, melalui entri ini ingin mengungkap kembali zaman kanak-kanak aku, terutamanya ketika menyambut bulan Ramadhanlah.

Dulu, zaman kanak-kanak, aku menyambut bulan Ramadhan dengan perasaan yang amat seronok tetapi menghadapinya dengan penuh keperitan pula. Keseronokannya ialah kerana selepas berhempas-pulas berpuasa dan walaupun tidak diberi upah oleh ibu bapa (tidak seperti mana sesetengah anak-anak zaman ini yang dijanjikan upah atau hadiah itu ini jika menamatkan 30 hari berpuasa) kami dapat pula menyambut hari raya. Keperitannya ialah melakukan ibadah puasa itu sendiri.

Seingatku juga, entah berapa kali aku melihat jam untuk mengira jumlah waktu yang masih berbaki dalam satu hari berpuasa itu. Ahh, waktu lambat benar bergerak. Ada sekali itu juga, aku terlupa bahawa aku berpuasa, lalu aku dengan selambanya meneguk air. Namun, aku terpaksa meluahkan semula air kerana teringatkan bahawa aku sedang berpuasa. Motivasinya cuma satu. Kalau kita berpuasa, Tuhan akan memberi banyak pahala.

Emak juga pernah berkata kepada adik-adik aku yang masih kecil lagi dengan kata-kata, “siapa yang tak puasa, dia tak boleh raya.” Aku terkesan juga dengan kata-kata emak itu. Alangkah tak seronoknya jika tak boleh sambut raya. Itulah ayat-ayat yang biasa emak katakan kepada aku dan mungkin adik-adik aku yang lain. Kadang-kadang emak berkata, “alah, tinggal lagi 25 hari hendak puasa. Tak lama lagi, rayalah.” Cabarannya pula ialah aku tidak mahu kalah berpuasa dengan kawan-kawan aku yang sebenarnya ialah sepupu-sepupu aku.

Satu lagi cabaran bulan puasa ialah untuk bangun bersahur atau orang kampungku menyebutnya ‘bangkit soq’. Seingatku, aku punyalah liat bangkit soq sebab di kampung kalau waktu malam, cuaca sangat sejuk pada waktu itu. Iyalah, keliling rumah dipenuhi pokok-pokok menghijau. Ada sekali itu, aku dikejutkan supaya bangkit soq tapi aku terus turun ke bilik air dan mandi. Aku ingatkan, emak mengejutku supaya pergi ke sekolah. Rupa-rupanya, bangkit soq. Punyalah malu dan punyalah rugi kerana mandi di tengah malam. Begitulah aku berfikir pada masa itu.

Biasanya, selepas beberapa hari berpuasa, barulah kami memulakan aktiviti khas menyambut bulan Ramadhan. Seingatku, aku paling seronok bulan ini kerana membayangkan keseronokan berhari raya. Namun, lebih jauh daripada itu juga, aku seronok menyambutnya kerana pengisian bulan inilah. Seingatku, dalam bulan inilah sahaja kami membuat aktiviti yang tak pernah kami buat dalam bulan-bulan lain. Salah satunya ialah bermain meriam tanah, meriam tin, meriam katak atau bermain meriam koq!

Umum mengatakan bahawa meriam buluh amatlah berbahaya. Aku tak bermainlah meriam buluh. Setahuku, meriam buluhpun bukanlah famous sangat di kampungku. Ramai yang bermain meriam tin susu atau meriam tanah. Tetapi, aku gemar bermain meriam koq. Meriam jenis ini paling senang hendak dibuat dan tidaklah bahaya. Aku tak minat bermain meriam buluh kerana orang cakap bahaya dan aku sendiri pun bukan jenis yang begitu gigih menyusahkan diri mendapatkan buluh dan menjadikannya meriam pula.

Apa yang menyeronokkan sangat bermain meriam ini? Hmm, aku rasalah, yang paling aku suka ialah apabila melihat sumbatan daun pisang pada muncung meriam yang terpelanting jauh ke depan setiap kali meriam itu meletup. Selebihnya, bunyi meriam itu sendirilah yang membuatkan aku seronok bermain meriam.

Bila kami bermain meriam? Oh, ada beberapa sesilah. Mula-mula sekali, sebelah petang iaitu sekitar selepas solat Asar. Selalunya kami bermain meriam selepas menonton rancangan ‘Rumah Kedai’ di TV3. (aku harap tahun ini TV3 menayangkannya semula). Sebenarnya, taklah lama sangat kami bermain meriam. Lebih kurang setengah jam sahaja.

Selepas itu, kami lepak-lepaklah di rumah sebab kadang-kadang atau selalunya masa itulah nanti kami menjadi pekerja kurier yang menghantar juadah yang emak aku buat ke rumah jiran-jiran kami yang lain. Jiran-jiran kami pun bukannya orang lain. Mereka semua terdiri daripada pak ndak, pak long, pak cik, dan rumah nenek dan tuk wan juga terletak bersebelahan dengan rumah kami.

Sesi kedua bermain meriam ialah selepas solat maghrib iaitu selepas berbuka puasa. Kadang-kadang kami saling melawan tembakan meriam dengan anak-anak jiran kami yang juga merupakan sepupu kami. Tapi taklah lama sangat kami bermain meriam kerana selepas itu kami pakat-pakat pergi ke masjid pula sebab ada disediakan moreh, selepas selesai solat tarawih nanti.

Lagipun, ayah dan emak akan bekerjasama dan bersatu hati untuk memarahi kami jika kami tak pergi ke masjid. Kami tak maulah kena marah sangat. Apabila kami pergi ke masjid, sekali lagi kami berjumpa dengan kawan-kawan kamilah. Dalam perjumpaan itulah kami kemudiannya berbual-bual tentang bunyi meriam kami tadi sehinggalah salah seorang daripada kami kemudiannya mencadangkan satu lagi permainan ganjil pada bulan puasa. Permainannya begitu menyeronokkan walaupun amatlah bahaya.

Permainannya sangat senang dan ringkas. Caranya, kami ambil sabut kelapa yang bercambah di kampung kami dan kami nyalakan di hujungnya sehingga menjadi bara. Kemudian, kami selitlah pada reranting basikal kami. Selepas itu, kami berkayuhlah keliling kampung dan bara api yang ada pada hujung sabut itupun nampaklah merah apabila basikal di kayuh. Bulatan merah dan kadang-kadang ada percikan api yang terkeluar setiap kali kayuhan dibuat juga menyebabkan suasana begitu meriah. Kami kayuhlah basikal sekeliling kampunglah untuk menunjuk-nunjukkan kepada kumpulan budak-budak kampung yang lain yang belum ada idea sebaik itu. kami tak takut hantu pun kerana emak dan nenek kami selalu cakap bahawa hantu dan setan kena ikat dalam bulan puasa.

Anak-anak muda yang baru pulang dari solat isya dan hanya bertarawih beberapa rakaat sahaja melepak di kedai runcit turut ketawa bagai nak pecah perutlah menengokkan kebiulan kanak-kanak di kampung mereka bermain dengan api. Haih, tapi syukurlah tak seorang pun daripada kami yang tercedera dengan permainan api pada basikal itu.

Kemudian, apabila waktu solat tarawih hampir selesai, kami cepat-cepatlah pergi ke masjid semula sebab tidak lama selepas itu, moreh akan diedarkan. Kemudian, sebelum pulang ke rumah masing-masing, kami berjanjilah untuk bermain lagi seperti malam itu pada malam esoknya. Namun, ada ketikanya, rancangan kami tergendala apabila ada antara kami yang bermulut bacul menceritakan aktiviti kami kepada ibu bapanya. Kemudian, seorang demi seorang dimarahi oleh ibu bapa masing-masing.

Guru besar sekolah kami pada masa itupun bukan main lagi garangnya. Beliau dengan ikhlasnya turut melantik beberapa orang spy yang tidak boleh dipercayai sebenarnya untuk menspykan aktiviti kami di masjid. Adalah sekali itu, aku dan kawan-kawan aku yang merupakan sepupuku dipanggil oleh guru besar yang besar dan garang itu kerana kami dituduh berbuat bising di koridor masjid. Tetapi, memandangkan salah seorang daripada sepupuku itu pula anak ketua JKKK kampung kami iaitu anak pak long aku, guru besar itu dengan baiknya pula melepaskan kami tetapi dengan amaran terakhir kali yang pertamalah.

Aku belum puas lagi bercerita. Kali ni pasal aktiviti emak dan kakak kami pada waktu petang bulan puasa. Emak kami pandai memasak, menggoreng atau apa-apa lagi skill memasak yang lainlah. Kakak kami pun menjadi pandai setelah selalu sangat terpaksa membantu emak kami memasak pada setiap petang bulan puasa.

Jadi, kami seronok juga menanti setiap petang melihat apakah juadah yang emak kami masak. Pada masa itu, di kampung kami bolehlah dikatakan semua penduduk kampung menyediakan juadah sendiri. Jarang dibeli dari luar seperti sekarang ini. Malah, aku sendiri tidak pernah tahu tentang wujudnya bazaar Ramadhan. Lagipun, juadah yang emak buat sendiri lebih sedap.

Satu keseronokan yang berlaku dalam bulan Ramadhan tetapi tidak pada bulan lain di kampung kami ini ialah aktiviti bertukar-tukar juadah makanan terutamanya kuih-muih. Kadang-kadang, semasa kami menghantar kuih-muih ke rumah jiran kamilah kami sempat pula berselisih dengan sepupu atau kawan kami yang turut pula menghantar juadah ke rumah kami.

Biasanya, selepas 10 hari berpuasa, semangat sudah semakin meningkat. Puasa pun tidaklah lagi perit seperti pada mulanya. Rasa aku, dalam tempoh-tempoh begini, aku sudah mula kurang melihat jarum jam pada dinding rumahku. Aku lebih leka dengan meriam dan mula menyimpan wang sikit-sikit. Bukan hendak membeli baju raya tetapi membeli mercun dan bunga api.

Aku suka bermain mercun katak. Bentuknya bukan macam katakpun. Iras-iras pun tak ada. Cuma, warnanya hijau dan setiap kali mercun ini dicucuh, dia akan meletup beberapa kali. Setiap kali mercun ini meletup itulah dia akan melompat. Jadi, kami gelarkanlah mercun ini mercun katak. Kami pun ikut melompatlah setiap kali mercun ini melompat. Itulah keseronokannya.

Selain itu, aku paling suka membeli mercun lada. Bentuk mercun ini seperti mercun papan yang orang Cina bakar sempena sambutan kongsifachai. Kami menggelarnya mercun lada kerana saiznya yang lebih kecil dan jika ketika membakarnya tidak sempat pula dicampakkan ke tanah, kesannya hanyalah rasa kebas pada jari. Rasa kebas itu tidaklah lama.

Aku, bagaimanapun kurang suka bermain mercun papan kerana saiznya besar dan letupannya kuat. Selain itu, sumbunya bukan main cepat lagi menyala. Silap hari bulan, bengkaklah jari. Tetapi sebagai anak kampung, aku tidak menjadikan kejadian itu sebagai batu penghalang untuk memeriahkan lagi malam-malam bulan puasa.

Pernahlah sekali tangan aku bengkak terkena mercun tetapi aku tidak laporkan kepada emak aku pasal itu. Aku sendiri yang ubatkan penyakitku sendiri. Aku, pada asalnya bukanlah berdikari sangatpun, tetapi aku tidak melaporkan kepada emak kerana bimbang emak akan bekerjasama dengan ayahku buat sekian kalinya memarahi aku. Dan, seperti yang aku sedia tahu, mereka akan menggunakan kuasa keibubapaan mereka untuk menghalangku bermain mercun. Alangkah tak seronoknya nanti.

Pada malam-malam ke sepuluh puasa dan ke atas, kampung kami mula bising dengan bunyi cucuhan meriam dan bunyi letupan mercun. Kanak-kanak pun bukan main meriah dan gembira lagi bermain bunga api. Mereka membeli bunga api yang pemegangnya besi dan mereka menyalakannya beberapa batang serentak dan mengangkutnya pada pokok bunga.

Kami pun selalu membeli mercun telur naga. Sebelum kami nyalakan cucuhannya, kami bersiap sedia dengan lastik. Selepas cucuhannya menyala, kami lastiklah mercun itu ke langit malam. Wah, percikan apinya memang cantik. Kami memang kreatif pasal itu.

Polis tak tangkapkah orang yang bermain mercun dan bunga api?

Pada masa itu, mercun dan bunga api diharamkan. Setahu aku, mula-mula sekali, kilang bunga api dan mercun dilarang beroperasi di Malaysia sejak kebakaran dan letupan kilang bunga api di Sungai buloh, Selangor. Kemudian, selepas ramai budak-budak yang mengalami kecederaan akibat bermain mercun, polis marah kalau kanak-kanak bermain mercun. Penjual mercun pun menjualnya secara sembunyi-sembunyi.

Tetapi di kampung kami yang agak pedalaman pada masa itu, polis tidak masuk meronda. Sudahnya, kampung kami tetap meriah dan ceria dengan bunyi letupan meriam dan mercun setiap kali bulan puasa.

Ah, alangkah seronoknya saat-saat itu!



Part II (16 Ramadhan hingga 1 Syawal)

Setelah 15 hari berpuasa, maka menjelmalah penggal kedua bulan puasa, iaitu 15 hari yang berikutnya untuk dilalui. Namun, semasa aku masih dipanggil kanak-kanak dahulu, penggal kedua inilah yang paling menyeronokkan. Di kampungku, pada saat ini, seperti diserang kesibukan dalam kalangan penduduknya.

Emak dan kakak mula berbincang tentang aneka kuih-muih yang ingin mereka buat dan sajikan untuk tontonan para tamu. Aku dan kawan-kawan aku pula mula memikirkan tentang rumah mana harus ditandangi terlebih dahulu. Rumah yang tahun lepas tidak memberikan duit raya yang sepatutnya akan diletakkan di bahagian paling bawah sekali.

Namun, keluarga kami mempunyai tradisi yang berlainan sikitlah. Kami, anak-anak mesti bertandang ke rumah semua bapa saudara kami yang jumlahlah beberapa buah rumah itu. Ada yang terletak bersebelahan rumah kami dan ada yang agak jauh sedikit. Apapun, rumah-rumah ini mesti ditandangi. Jika tidak, bersedialah untuk dimarahi oleh emak dan ayah, mahupun emak dan bapa saudara.

Bukan kami sahaja begitu, anak-anak saudara emak dan ayahku juga tidak boleh jika tidak bertandang ke rumahku. Bertandang ke rumah bapa dan emak saudara ialah suatu kemestian. Maka sebab itulah setiap kali menyambut perayaan, rumah kami dan rumah emak dan bapa saudara kami akan menjadi sesangat sibuk menerima kunjungan saudara mara. Tradisi itu berterusan melangkaui zaman kanak-kanakku sendiri.

Seingatku, isu bertandang ke rumah penduduk kampung ini kadang-kadang menjadi amat lama dibincangkan. Biasanya, semasa berbincang itulah juga kami berbincang sekali kelucuan dan tragedi yang berlaku ketika kami bertandang pada tahun sebelumnya. Misalnya, aku akan sentiasa mengingati peristiwa aku dan kawan-kawanku bertandang ke rumah pak long wang (sebenarnya, beliau bernama pak long awang tetapi kami sepakat memanggilnya pak long wang).

Ada seorang kawanku ini yang sedikit tamak berpura-pura belum mendapat duit raya walaupun baru sahaja diberi duit raya oleh pak long wang. Akhirnya, dengan ikhlasnya pak long wang memarahinya. Terkulat-kulatlah kawanku itu. Kami pula tidaklah begitu simpati terhadapnya sebaliknya mengetawakannya pula kerana ketamakannya itu. Lagipun, pak long wang pada masa itu bukanlah tua sangat. Ingatannya masih tajam.

Selepas itu, dalam penggal kedua bulan puasa ini, kami turut berbincang tentang baju raya. Aku tidaklah gemar benar berbincang soal ini. Bapaku bukanlah kaya sangat pada masa itu. Apa sahaja baju raya yang aku minat pada masa itu pasti tidak akan aku dapat. Sedihlah juga tetapi kesedihan itu tidaklah pula kekal kerana bukan itulah satu-satunya perkara yang boleh menggembirakan kanak-kanak seperti aku pada masa itu.

Seingatku, selain aku sibuk dengan meriam koq, aku tidak juga melupakan bagaimana gigihnya aku membantu abangku membuat pelita panjang daripada buluh. Kemudian, kami membuat pancangan tempat meletak pelita buluh tersebut. Biasanya, pelita buluh itu kami pasangkan di kiri dan kanan jalan betul-betul di pintu masuk ke laman rumahku.

Hendak membuat pelita buluh ini bukannya susah benar. Abang aku biasanya memilih batang buluh yang agak kecil saiz dan ruasnya. Abang akan menebuk lubang pada setiap ruas dan kemudiannya abang akan memotong bahagian zink yang tidak digunakan lagi untuk membuat corong sumbu pelitanya. Bahagian sumbunya pula tugas akulah. Aku akan pergi ke bangsal ayam di belakang rumahku untuk mencari guni padi yang lama. Biasanya, adalah guni di situ.

Ayah biasanya menyimpannya di situ. Aku akan mengambil sedikit guni padi itu dan memintalnya sehingga menjadi sumbu pelita. Kemudian, seperti biasa abang akan mengarahkan aku mendapatkan tanah liat pula. Tujuannya ialah untuk ditekapkan di keliling corong sumbu pelita. Itu semua kerja akulah kerana kerja abangku ialah memberikan arahan demi arahan kepadaku. Tetapi, aku tak marahlah kerana aku seronok menolong abang membuat pelita untuk rumah kami. Lagipun, tak baiklah kalau kita melawan cakap abang kita.

Pelita-pelita lain pun turut kami pasang. Biasanya, kami pasang sehingga di tepi jalan rumah pak ndak dan anak pak ndak pula menyambungnya sehingga di tepi jalan rumah pak cik dan anak pak cik menyambungnya sehingga ke jalan besar. Alangkah cantik suasana pada waktu malam kerana laman rumah kami dan rumah jiran kami dihiasi sinaran pelita meliuk-lintuk. Kami pun bukan main sibuk lagi pada masa itu untuk pergi meronda keliling kampung untuk melihat bagaimana rumah-rumah lain turut memasang pelita.

Pada masa itu, lampu lip lap belum famous lagi di kampung kami. Penduduk kampung semuanya memasang pelita yang menggunakan minyak tanah. Kadang-kadang, hujan turun pada waktu malam menyebabkan kami tidak dapat memasang pelita pada malam tersebut. Ah, alangkah bosannya. Akan tetapi, bulan puasa hujan biasanya jarang turun kerana cuaca pada bulan puasa biasanya amat terik.

Selepas 20 hari berpuasa, keadaan sibuk bertambah-tambah. Siaran radio bukan main lagi galaknya mengumandangkan lagu-lagu raya di corong radio. Seingat aku, lagu raya yang paling famous pada masa itu ialah nyanyian Saloma.

Selamat hari raya / hari untuk kita bersuka ria / setahun hanya sekali/ hari raya disambut dengan gembira
Di masa bulan Ramadhan / kita berpuasa hingga sebulan / pabila Syawal menjelma / hari raya disambut dengan gembira

Begitulah lagu itu, rasa aku. Aku tak hafal sangat lagu-lagu raya ni. Tapi, setiap kali nak menyambut hari raya, lagu-lagu inilah yang diulang-ulang diputarkan oleh dj radio. Lagipun, lagu-lagu ini sudah evergreen. Selain lagu ni, lagu Ahmad Jais, Uji Rasyid dan Hail Amir, P. Ramlee, Sanisah Huri, Rafeah Buang, Aman Shah, Sudirman, dan DJ Dave pun famous jugak. Aku bukan main suka lagi mendengar lagu-lagu raya ni. Lagu-lagu inilah yang menyerikan suasana sambutan hari raya zaman kanak-kanakku hingga sekarang.

Pada masa itu, di kampungku telah kelihatan beberapa muka yang sekian lama tidak kupandang. Penduduk kampungku yang merantau telah kembali untuk menyambut sambutan hari raya. Aku tak pedulilah soal itu kerana abang dan kakakku pada waktu itu masih lagi tinggal bersama kami. Pendek kata, setiap hari, siang dan malam keluarga kami adalah sama ahlinya, tidak pernah kurang.

Emak pula pada masa itu tidaklah marah-marah jika abang menguatkan peti radio yang sedang galak mengumandangkan lagu raya. Mungkin emak sendiri menikmati suasana yang sibuk itu dengan perasaan yang amat gembira juga. Maklumlah, anak-anak saudaranya yang berada di perantauan ramai yang telah pulang ke kampung. Begitulah emak dan begitulah juga ayah. Ayah aku anak bongsu dalam keluarganya. Jadi, sebelah bapaku memanggilnya pak su sementara emak aku pula anak sulung dalam keluarganya. Jadi, anak saudara sebelah emakku memanggilnya mak long pula.

Aku rasalah, di samping lagu raya yang memeriahkan suasana bulan puasa pada hari-hari terakhir kami berpuasa pada masa itu, ada lagi perkara lain yang turut memeriahkan suasana iaitu kesibukan emak membuat kuih raya. Kadang-kadang, disebabkan tidak cukup pembantu, aku pun terjebak sekali dalam usaha membuat kuih raya. Masa itu belum ada kuih Almond London atau kuih yang colourful seperti sekarang ini.

Kadang-kadang, dalam kesibukan itu aku terlepas juga menonton rancangan ‘Rumah Kedai’ kegemaran aku. Tapi aku tak kisahlah sebab menolong emak membuat kuih raya pun seronok juga. Emak pun bukannya membuat kuih raya setiap bulan. Bulan puasa sahajalah emak membuat kuih. Cuma yang kurang menyeronokkan satu sajalah, iaitu emak tidak sempat pula hendak masakkan dua tiga jenis cucur untuk berbuka puasa nanti. Biasanya, pada hari ini jugalah emak dan kakak akan membuka daun mempalas untuk membuat ketupat.

Pada hari inilah aku biasanya tidak lagi menyertai kawan-kawan aku kerana aku suka melihat emak dan kakak membalut ketupat menggunakan daun mempalas. Ada juga sekali dua aku cuba membalut ketupat. Jadi tu jadilah, tapi tak cantik. Di kampungku, jarang benar orang membuat ketupat empat segi yang diperbuat daripada daun kelapa. Semua ketupat yang dibuat menggunakan daun mempalas dan bentuknya ialah tiga segi. Ada jugalah orang kampung yang membuat lemang seperti rumah pak long aku. Tetapi, aku bukannya gemar benar makan lemang yang pak long buat kerana pulutnya lembik dan melekit-lekit pula.

Akhirnya, tibalah hari terakhir berpuasa. Hari ini sibuk betul. Mula-mula sekali, aku dan abang akan pergi ke pasar untuk membeli daging lembu untuk dibuat rendang atau kari untuk dimakan bersama ketupat dengan lahapnya. Emak sudah berpesan awal-awal lagi bahawa tengoklah kaki lembu yang digantung untuk tahu daging mana yang patut dibeli. Emak menyuruh kami membeli daging lembu yang datangnya daripada kaki yang sederhana kecil menandakan lembu muda. Jadi, dagingnya nanti tidaklah keras atau liat benar.

“Kalau tak ada kaki?” soal abang, bergurau pula.
“Eh, mesti ada,” kata emak. “Kalau tak ada juga, jangan beli daging yang merah benar warnanya kerana itu mungkin daging kerbau. Lagi liat dan keras,” kata emak lagi.

Pada sebelah tengah hari pula, biasanya emak akan mula menyediakan bahan-bahan untuk membuat dodol. Aku pun tak faham mengapa emak suka membuat dodol pada hari terakhir berpuasa sedangkan dodol boleh dikacau lebih awal dan tahan lama. Tapi, apa yang baiknya ialah hari terakhir ini dipenuhi dengan aktiviti sehingga aku terlupa bahawa aku berpuasa pada hari itu dan aku sepatutnya letih tetapi entah mengapa perasaan letih itu hilang begitu sahaja kerana mungkin keterujaan untuk menyambut hari raya yang menguasai diriku.

Pada hari ini juga, dalam pada kami (aku, abang dan ayah serta kadang-kadang emak dan kakak) sibuk mengacau dodol, emak dan kakak pula akan mula mengisi pulut di dalam ketupat. Usaha membalut ketupat juga dibantu oleh nenek emak yang turut tinggal bersama kami. Pada masa ini, kadang-kadang nenek emak kami itu akan bercerita tentang pengalamannya menyambut hari raya pada zaman penjajahan lagi. Pada zaman kampung kami ini masih diserkup hutan lagi.

Segala-galanya disiapkan pada hari ini seolah-olah sudah tahu bahawa esok ialah hari raya. Menjelang petang, biasanya semua keperluan telah disiapkan, termasuk dodol yang telah dikacau selama berjam-jam lamanya sehingga aku rasa bagai nak putus urat keting aku berdiri sambil mengacau dodol.

Menjelang waktu berbuka puasa, kami pun makanlah seperti biasa. Dimulakan dengan kurma kalau stok masih ada. Kalau tidak, dilanggah air dahulu selepas ayah atau abang atau aku membaca doa berbuka puasa. Kemudian, kami akan turun ke bawah dan memasang pelita minyak tanah sebelum naik semula ke atas rumah untuk menunggu pengumuman tarikh hari raya.

Pada aku, itulah saat yang dinanti-nantikan. Tidak ada seorangpun yang dibenarkan bercakap ketika pengumuman itu dibuat. Masing-masing diam. Masing-masing fokus. Dan kemudiannya, kami, kanak-kanak yang akan menjerit dengan gembiranya apabila tarikh hari raya yang diumumkan menunjukkan esoklah harinya.

Selepas itulah kami turun ke bawah untuk bermain bunga api dan mercun. Ayah pula akan ke masjid. Selain itu, aku akan mencucuh meriam lagi sambil televisyen di ruang tamu mula mengumandangkan takbir hari raya. Kakak akan menemani kami bermain mercun dan bunga api sekejaplah sebelum dia naik semula ke atas rumah dan mengemaskan rumah sebaiknya.

Malam itu kami tidur lewatlah. Kami berseronok benar. Emak dan ayah pun tak melarang kami berbising-bisingan di laman rumah bermain bunga api atau mercun. Dan kami bergembira berterus-terusan pada malam itu. Kadang-kadang, pada malam itu sudah ada tetamu yang datang ke rumah kami untuk memberi beras fitrah kepada nenek emak kami. Bagi kami sekeluarga pula, beras fitrah diselesaikan awal-awal lagi kerana ayah memang tidak suka membayar beras fitrah lewat-lewat begitu.

Esoknya, kami tidak lagi bangkit soq. Namun, seingat aku, kami tetap bangun awal pada pagi itu. Sebenarnya, sejak malam tadi lagi tidur aku tidaklah senyenyak malam-malam sebelumnya. Selepas mandi dan mengenakan baju raya, kami bersalam-salamanlah dengan ahli keluarga kami pada waktu itu. Kemudian, kami mula mengatur langkah. Langkah yang akan menjadi sangat panjang berbanding hari-hari biasa kerana hari ini hari raya.



Nota:
Begitulah jadinya ketika aku masih lagi kanak-kanak. Dalam pengkisahan aku, kadang-kadang aku menggunakan perkataan aku dan kadang-kadang aku menggunakan perkataan kami. Perkataan aku merujuk kepada akulah dan perkataan kami pula merujuk kepada aku dan kawan-kawanku atau aku dan abang aku.


Part III (sekarang)

Segala-galanya telah lama berubah. Sejak usia aku menginjak dewasa. Sejak aku telah pun memiliki keluarga aku sendiri. Pastinya suasana yang aku gambarkan dua bahagian terdahulu tidak lagi sama dan tidak akan menjadi sama buat selama-lamanya. Aku tidak lagi pergi bertarawih kerana moreh, tetapi kerana aku sedar betapa berharganya 30 hari dalam bulan Ramadhan itu. Betapa istimewanya bulan itu. Betapa ALLAH telah mengurniakan berbagai-bagai ganjaran dalam bulan Ramadhan ini.

Aku tidak lagi bermain meriam dan mercun, pastinya. Malah, kanak-kanak di kampungku tidak pandai membuat meriam lagi. Mereka tidak meletakkan bara sabut di reranting basikal seperti kami dulu-dulu. Mereka juga tidak sibuk lagi memasang pelita minyak tanah, apatah lagi mencari tanah liat dan mendapatkan buluh untuk di buat pelita buluh. Semuanya telah digantikan dengan lampu lip lap yang sentiasa berkelip-kelip setiap kali dihidupkan. Malah, kelip-kelip lampu itu juga berbagai-bagai coraknya.

Juadah berbuka puasa juga kurang ditukar-tukarkan dengan jiran kerana malulah hendak memberikan kepada jiran juadah yang sebenarnya dibeli di bazaar Ramadhan. Semuanya telah berubah. Kanak-kanak juga mungkin tidak lagi sibuk berbincang tentang baju raya atau juga berbincang tentang rumah yang ingin ditandangi oleh mereka.

Masakan mereka dapat bertandang ke rumah penduduk-penduduk kampung sedang televisyen pula menggoda hati mereka dengan berbagai-bagai rancangan menarik sepanjang sambutan hari raya. Sudahnya, mereka berbaju raya tetapi berlingkar di ruang tamu rumah menonton televisyen.

Sebab itulah apabila aku membaca tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, iaitu penulis kegemaranku, yang bertajuk ‘Detik-detik Diri di Daerah Daif’ yang menceritakan tentang betapa sedihnya beliau terhadap kegemulahan kampung kelahirannya, di Sik, Kedah, aku teringatkan kampung aku sendiri. Ciri-ciri kegemulahan di kampungku juga mula terserlah. Aku kira tidak lama lagi, kampung aku juga akan senasib dengan kampung Shahnon Ahmad. Dan aku, penduduk kampung yang dahulu membesar di dalamnya akan turut berasa sedih meratapi kegemulahannya.

Tuesday, August 12, 2008

selamatlah korang semua.



hari tu, aku tatau apa nak buat. duduk2 depan laptop, jadi aku gatalkan tangan buatkan benda ni. saja jelah, syok2. so, untuk semua pembaca novel aku yang akan duduki exam upsr tu, atau pelajar2 aku yang keypo sangat datang ke blog ni, pun aku nak ucapkan selamat menduduki upsr.


so, aku nak amik kesempatan ni untuk ucapkan selamat menduduki UPSR kepada budak2 aku di seri cahaya.

p/s: untuk mengelakkan amir dan konco2nya menggotong-royongkan aku secara ikhlasnya, terpaksalah aku mengubahsuaikan entry ini dengan ikhlasnya juga. haha

ok byes! (i copy this word from winnie)

Sunday, July 27, 2008

manggis dan penyelenggaraannya



aku saja je letak gambar ni buat hiasan blog aku. gambar ni juga khas buah pemakan buah2an tempatan.kan sekrg ni meriah dengan musim buah2an.

makanlah buah2an tempatan. jangan bimbang. kos penyelenggaraan buah manggis tak seperti perdana V6 so tak payah le korang makan buah epal.

satu lagi, mem aku bising sebab aku tak tempah lagi baju raya tahun ni. rupa2nya, dah nak puasa balik. yahui, bestnya. ramadhan nak datang balik. mulakan azammu, kawan2ku.

byes!

bila seseorang menyapa

hari ini, entah apa tuahnya, atau hikmahnya, aku disapa seseorang. seseorang dari salah seorang yang sebelum2 ini membangkitkan rasa kagumku.

waktu itu, aku baru sahaja turun dari satu bangunan ilmu. mungkin itulah antara lain kelebihan yang Tuhan berikan kepadaku kerana kesanggupanku menjalankan kelas tambahan buat anak2 kecil yang bakal berperang dengan UPSR pada bulan September ini.

sebelum ini, aku tak pernah mengajar pada hari Ahad. cuma, jemputan oleh pemilik pusat tuisyen itu agar aku menolongnya mengajar dua kelas pada setiap hari Ahad bagi tempoh dua bulan sahaja aku terima.

atas dasar memberi pertolongan pada yang amat memerlukan pertolongan, aku terimalah permintaan itu walaupun sebelum ini, aku tidak akan mengajar pada hari Ahad, hari yang mana aku kategorikan sebagai hari keluarga bagi keluarga kecilku.

"alias," sapa lelaki itu yang tatkala itu berada di tempat duduk keretanya. tingkap kereta di bahagian pemandunya dibuka luas2.

sebetulnya, aku tak kenal langsung orang yang menyapaku itu. memang aku tak kenal langsung.sebaik menoleh ke belakang, aku membalas senyuman kepada penyapa itu dan aku yang saat itu telahpun membuka pintu keretaku berpatah balik pergi ke arah penyapa itu dengan perasaan yang berbaur kehairanan.

sebaik sahaja aku tiba di tepi pintu keretanya, salam dihulurkan.

"Ami masra," penyapa itu memperkenalkan dirinya ketika kami bersalaman.aku agak terkejut juga kerana nama itu bukanlah asing dalam dunia penyair tanah air.
"dah banyak menulis?" soalnya.
"oh, adalah sikit. saya baru mula menulis tahun lepas. sebelum ni pun menulis juga, tapi tak pernah terbitkan sebab saya sendiri pun tak tau boleh menulis ke tidak," balasku merendah diri.dia tersenyum mendengarnya. kemudian, kami berbicara sebentar sebelum akhirnya sempat bertukar nombor telefon.

aku kembali ke keretaku dan sempatlah aku mendengar kata2 beliau bahawa "kalau ada apa-apa, contactlah," katanya. aku berpaling ke belakang dan keretanya mula meluncur pergi.

huiyo, AMI MASRA yang menyapa aku rupa2nya. aku memang meminati penulisan sajak. cuma, aku tak pandai menulis. dulu, aku belajar menulis puisi dengan A. Wahab ali dan zubir ali. aku pernah juga ikut bengkel yang diberikan oleh hasyim yaakob dan W. S Rendra. tapi itu cerita dulu2lah.

tapi entahlah. setakat ini, daripada banyak2 puisi ynag aku tulis, hanya satu sajak aku yang membanggakan iaitu sajak yang aku tulis dan menjadi johan bagi majlis deklamasi sajak berunsur keislaman peringkat intervarsiti yang dideklamasikan oleh sahabatku(aku bangga amat pada masa itu).

itulah sebabnya apabila Marsli N.O ada menyapa di blog ini hari itu, aku gembira amat. sebab Marsli pun tersohor beb! hari ini, Ami Masra pula yang menyapa aku. pun aku gembira amat.

rupa2nya, salah seorang anak kecil yang aku ajar di pusat tuisyen itu ialah anak Ami Masra. agaknya anak kecil ini memberitahu bapanya bahawa guru tuisyen barunya ini seorang penulis sepertinya juga.

pastinya si anak tak tau cikgunya yang dah tua ni masih muda amat dalam bidang penulisan jika nak dibandingkan dengan bapanya yang sudah tersohor itu. kat bawah ni aku letakkan salah satu puisi beliau yang telah disiarkan dalam salah sebuah majalah.

MATA YANG MELIHAT

Mata sering membawa
seribu bencana
mata yang melihat
dengan daya fikir
diberikanNya ladang ketenangan
mata yang merenung
dengan rasa insaf
dianugerahkanNya kebun kedamaian
mata yang meneliti
dengan setulus hati
dihamparkanNya padang kekayaan
mata yang memerhati
dengan seikhlas kebaikan
dibalasNya lautan pahala
mata yang memandang
dengan seribu nafsu
dibalasNya dengan kesakitan
yang amat pedih!

Ami Masra
Jelita Mac 1999

sajak ini pula oleh seorang lagi penyair yang aku minat. beliau berasal dari Terengganu dan sudah lama bermastautin di Pahang, iaitu Marsli N.o. rasa aku, Marsli dan Ami Masra ini seangkatan. kalau Marsli datang ke sini, tolong betulkan aku kalau fakta ini salah.

DI RUMAH ITU

Di rumah itu
seorang ayah duduk di tangga
menghitung baki usia
dan dari rahang rindunya
terdengar bisikan memanggil
"seorang anak
bilakah pulangmu
memotong rumput dan lalang
di laman hatiku."

Marsli N.O
dipetik dari Negeri, ini anak
November 1984


siapa yang tak kenal Marsli dengan puisi pendeknya. kependekan puisinya itulah yang akhirnya menjadi trademark Marsli N.O.

okies, byes!

Saturday, July 12, 2008

cintaku pada bola sepak

bila aku nemulis sebuah novel yang bertunjangkan sukan bola sepak, yang kemudiannya aku letakkan pada tajuknya nama pemain yang paling aku gemari iaitu Zinedine Yazid Zidane, korang boleh bayangkanlah betapa aku amat meminati sukan ini.

sebenarnya, aku ta' pandai main bola sepak pun. tapi, minat sangat pada sukan ini. dalam dua bulan lepas, aku membaca novel remaja bertajuk Priiit! karya Alias Ismail. terima kasihlah alias ismail kerana dalam buku itu mengingatkan kembali kepada khalayak pembaca tentang kehebatan pasukan bola sepak Malaysia suatu ketika dulu. menurut buku itu, pasukan bola sepak negara kita pernah beraksi di pusingan akhir bola sepak sukan olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972.

tetapi sekarang...haih

dahulu, pasukan bola sepak Malaysia pernah menewaskan seteru seperti pasukan Korea Selatan (3-0) walaupun Super Mokh (mokhtar Dahari tidak bermain. kita pernah menewaskan Singapura (6-0) dan Indonesia (6-1). pada masa itu, pasukan seperti Myanmar dan laos tak usah cakaplah. pasukan belasahan Malaysia beb!

tetapi sekarang...haih

kali terakhir kita mengalahkan korea selatan ialah pada tahun 1985 (1-0) melalui jaringan Dollah Salleh dalam perlawanan di Kuala Lumpur. tapi semasa kita berkunjung ke Seoul dalam pusingan kedua, kita tewas (0-2). itupun masih kira hebatlah.

tetapi sekarang...haih

sekarang park ji sung dah bermain dengan Manchester United! dimana pemain negara kita? ada, di tepi bilik persalinan kerana sedang melayan emosi yang terganggu sehingga menyepak cermin kaca bilik persalinan sehingga pecah. pecah beb cermin tu! hebat tuu.. jadi, itulah kehebatan pemain kita buat masa ini.

aku ada baca info pasal ranking pasukan bola sepak sedunia. spain dah jadi pasukan terbaik di dunia selepas memenangi EURO 2008 baru-baru ini. korang tengoklah sendiri kat bawah ni.

1 Spain
2 Italy
3 Germany
4 Brazil
5 Netherlands
6 Argentina
7 Croatia
8 Czech Republic
9 Portugal
10 France
11 Russia
12 Romania
13 Cameroon
14 Turkey
15 England
16 Scotland
17 Bulgaria
18 Greece
19 Mexico
20 Ghana
34 Japan
53 Korea Republic
111 Thailand
124 Vietnam
127 Singapore
132 Indonesia
164 Myanmar
166 Malaysia
169 Philippines
187 Brunei Darussalam
189 Laos
199 Timor-Leste


aku maleh nak analisis la. korang tengok sendirilah. buat sakit hati je.

okies, byes!

Wednesday, July 9, 2008

cooking master!


n3 ni khas untuk seri cahaya students sr. 2.

i baru saja upload ur photo. sorry to sr. 2 love bcoz gambar u all tak ada. dat bcoz i tidak dimaklumkan bahawa u all akan masak2 on dat day. so, when i go to KH lab, u all dah habis makan.

sr. 2 hope pula, i sampai ke KH lab when u all is ready to eat.so, i just snap some photo when u all makan je.

for sr 2 joy pula, i sempat cover semua aktiviti memasak yg u all buat. but the most important is this class very sporting n they all tak seperti jakun or sakai with camera like some of student from another 2 classes. tq senior 2 joy.

so, i take this opportunity to say tq to;

sr 2 love
bcoz u all kasi i minum jus lemon yang masam sangat. nasib baik i tak sakit perut.haha

sr 2 hope
group che ying: tq coz kasi i makan nasi goreng yang nampak sedap tapi sedikit masin. but my stomach still can accept dat nasi goreng.
group sonia: tq coz kasi i minum air yang menakutkan. u all dah campur macam2 buah2an kat dalam tu. i nak describekan rasa air tu pun tatau

sr 2 joy
i seronok tengok u all masak2. kelam-kabut sangat! tq to sian see group yang layan i makan nasi goreng u all. memang sedap nasi goreng tu. n sorry to khai teq n kuang jin punya gorup. i kenyang d when u offer me ur nasi goreng.

so, sesapa yang nak collect gambar dia, just click my photo gallery. klick pada gambar n klick lagi pada (all size) to get saiz sebenar gambar u all. byes!

Monday, July 7, 2008

marilah gembirakan hati isteri

hari ni aku memasak.


sebenarnya, dah banyak kali dah aku memasak. cuma kali ni je aku nak storykan skit. kenapa aku memasak?

objektif
1)aku nak makan le
2)aku nak gembirakan lagi hati mem aku yg memang dah gembira
3)niat yang nombor dua tu le

mem aku baru sampai dari kedah pagi ni. dia naik airasia lah. kalau naik keta pun, balik2 sama jugak kan kosnya. baik naik belon je.satu jam dah sampai.

lepas balik dari sekolah, aku terus call mem. aku tipu skit ah. aku cakap, hari ni tak payah masak apa2. nanti malam aku keluar n bungkus makanan. yang sebenar-benarnya, aku nak masak malam ni. konon kejutan la.

dari skol, aku singgah kedai runcit n beli ayam. aku beli potato n daging hancur ramly pun. sebabnya, aku nak masak ayam masak merah n buat begedil. sesampai je kat rumah, aku pun buatlah apa2 yang patut. contohnya, aku mandi. aku kan baru balik skol, mestilah kena mandi kan. pastu, aku lepak2 kejap depan tv tunggu asar jab. lepas tu barulah start projek masak2.

sebenarnya, mem aku baru je mengalami perkara baru dalam diri dia tu. sebenarnya, dia dah mula rasa pergerakan baby kat dalam perut. excited tau dia tu. kerap jugalah aku kena lekapkan telinga aku kat perut dia sebab dia kan nak kongsikan perasaan yang sama dengan aku. aku tak dengar apa2 pun.haha. tapi, kadang2 aku pura2 cakap aku dengarlah, sebab aku kan nak jaga hati dia.

tu la yang menyebabkan aku memasak ni. lagi satu, mem aku belum pernah try lagi begedil aku. jadi, aku nak le dia jadi food tester aku. dipendekkan cerita, sebab aku dah malas nak bercerita, mem aku pun balik n dia terkejut le sebab aku dah siapkan makanan. tapi dia taklah terkejut sesangat sebab dia dah biasa jugak macam tu. aku biasa jugak masak cuma bukan selalulah. aku tak cakap kat siapa2lah pasal aku tolong mem aku memasak. aku takut nanti orang panggil aku suami mithali. aku malulah kalau orang panggil aku macam tu. walaupun aku memang nak jadi macam tu.

oo, tapi kawan2 kat sekolah tau le yang aku rajin memasak. sebab masa mem aku kerja kat johor dulu, aku selalu masak n pagi2 aku sarap dengan masakan akulah.yang lebih menyebabkan dia orang tau yang aku selalu memasak ni bukannya apapun, dia oranglah yang tanpa perasaan telah menghabiskan masakan aku. tapi aku tak kisah pun, sebab sebagai chef (hahahaha) aku mesti berkhidmat kepada pemakan dan pencinta makanan.
begedil ni dapat pujian drpd mem AKA food tester aku. walaupun dia kata kulit begedil aku tak menarik sangat tapi isi begedil tu sedap. alah, memang le aku tak pentingkan sangat kulit dia. yang aku pentingkan ialah isi dia la. korang takkan tak biasa plak. kacang kan lupakan kulit. kali ni aku tukarlah skit. seperti begedil lupakan kulit.

satu lagi kan, mesti korang heran apasal plak aku cakap pasal masak2 ni. sebenarnya, aku saja je buat macam ni sebab aku nak join kelab yang diasaskan oleh ainin n nabil tu. aku rasa ainin pengasasnya. nabil baru nak berjinak2. dengan adanya n3 ni, secara automatically aku dah join kelab diaorang ni.

aku rasa nama kelab tu ialah : kelab penulis buku yang suka ceritakan pasal apa yang diaorang masak n diaorang letak n3 masakan kat dalam blog diaorang. macam gitu le panjangnya nama kelab tu. jadi sekarang ni aku dah join kelab ni lah. kelab ni tak pula dibuka kepada sapa2 yang sudi. hanya orang tertentu je yang boleh join. kalau korang nak join jugak sebab korang dah mengalami kecemburuan yang melampau, aku benarkan le. sebab aku kan baik hati orangnya.

tapi, korang kenalah bayar yuran. tak mahal pun. jumlahnya cuma RM625. macam rebate subsidi petrol yang kerajaan bagi tu. dengan adanya yuran tu, bolehlah nanti kami gunakan untuk setahun sepertimana yang kerajaan hendak kami buat dengan duit RM625 tu. eh apa pulak tak cukupnya. mestilah cukup sebab kerajaan kan bijak. yang tak bijaknya, rakyat macam kitalah. sebenarnya, kita kenalah setuju bahawa kita kena ubah cara hidup kita kalau duit tak ada. contohnya, kalau dulu makan nasi, lepas ni makanlah ubi kayu. eleh, malu2 plak. nenek moyang kita masa zaman jepun dulu pun buat macam tu.

lagipun, ubi kayu kan best. kita kreatifkanlah otak kita dengan ubi kayu tu. kita buatlah kerepek plak. macam yang man krup krap buat tu. lepas tu, ramai2lah kita makan kerepek dan bolehlah kita merepek.

aku tanak cakap lagilah. aku rasa macam aku sedang melalut.maklumlah, la ni kan dah lewat malam. badan aku kan dah penat sebab tadi aku berusaha memasak dengan penuh keikhlasan.
aku nak tidolah.

oh ya, aku kasi korang tengoklah gambar geffren aku yang terbaru.


okie, byes!